Polis tahan suspek video 'prank' tarik tudung dua wanita
KUALA LUMPUR - Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam video 'prank' tarik tudung dua wanita yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sini pada jam 7.30 malam Selasa.
"Satu kertas siasatan dibuka, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ashari menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang rakaman dan penyebaran video yang mengandungi isi kandungan boleh mendatangkan kegusaran masyarakat serta menyentuh sensitiviti.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan polis telah menerima laporan berkaitan video 'prank' tarik tudung dua wanita yang tular di media sosial.
Berdasarkan maklumat yang diterima perbuatan tersebut dirancang untuk mendapatkan perhatian di media sosial.
Pada Isnin, seorang lelaki yang juga YouTuber telah memohon maaf atas keterlanjurannya memuat naik video 'prank' tarik tudung dua wanita di saluran YouTubenya.
Dalam video sama, dua wanita terbabit turut memohon maaf kepada semua yang tersinggung selepas menonton rakaman yang tular itu.
Menerusi video terdahulu, lelaki tersebut menjelaskan video dimuat naik itu adalah eksperimen sosial dilakukannya untuk melihat sejauh mana reaksi netizen dan turut memberitahu dua wanita yang kononnya menjadi mangsa 'prank' adalah rakannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!