'Tahniah Tok Mat berani bersuara' - Rafizi
SHAH ALAM - Bakal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana mendakwa beliau berani bersuara dalam isu penyelewengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat menyuarakan pendapat bahawa Najib bersalah dan perlu masuk penjara berkait penyelewengan itu dalam satu wawancara bersama media antarabangsa.
Tegasnya, keadaan itu membuktikan masih ada suara-suara berani di dalam UMNO yang menyanggah kempen Najib yang cuba membodohkan rakyat (terutamanya orang Melayu) bahawa beliau tidak bersalah dalam skandal tersebut.
"Negara dikejutkan dengan laporan-laporan berita hasil satu wawancara antara Tok Mat dengan dua wartawan, Nick Kochan dan Nile Bowie.
"Berita yang bertajuk 'UMNO’s No 2 thinks Najib should go to jail' atau 'Pemimpin Nombor 2 UMNO berpendapat Najib perlu ke penjara' itu disiarkan oleh laman berita antarabangsa Asia Times," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Rabu.
Bagaimanapun, Mohamad pada Selasa dilaporkan menafikan laporan mengatakan beliau percaya Najib sepatutnya dipenjarakan.
Merujuk laporan Asia Times yang memetiknya, Mohamad berkata, beliau ditanya berhubung kes Najib, bagaimanapun kenyataannya diambil di luar konteks.
Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan, walaupun UMNO adalah saingan PKR, namun masa depan negara bergantung kepada parti-parti politik termasuk UMNO.
"Jika pun parti yang menang (pada suatu masa nanti) adalah PKR, negara masih memerlukan barisan pembangkang (seperti UMNO) yang cekap dan bersih untuk membawa isu-isu rakyat serta menyemak tindakan kerajaan.
"Oleh sebab itu, kempen berterusan Najib yang ingin menyelewengkan fakta yang telah dibentangkan di mahkamah adalah berbahaya kepada UMNO dan negara," ujarnya.
Rafizi menambah, satu kaji selidik dan laporan kepada organisasi korporat dan perbankan yang melantik syarikat beliau untuk memberi pandangan mengenai populariti Najib (dan pimpinan politik lain) dilakukan pada tahun 2021.
Katanya, dapatan menunjukkan lebih 80 peratus rakyat Malaysia percaya Najib bersalah (termasuklah dari kalangan orang Melayu dan ahli UMNO sendiri).
"Negara kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya cabaran ekonomi. Rakyat terpaksa berdepan dengan bebanan sara hidup yang lebih tinggi dan kemampuan kerajaan untuk membantu rakyat makin terbatas kerana ruang fiskal yang sempit.
"Sebahagian dari punca kebuntuan kewangan kerajaan ini adalah disebabkan bebanan hutang 1MDB yang diwariskan oleh Najib kepada rakyat.
"Sebab itu, untuk negara bergerak ke hadapan dan menerima hakikat kita akan terus dibebankan dengan bencana kewangan yang berpunca dari 1MDB, sekurang-kurangnya kita wajar diberi keadilan bermula dengan dalang-dalang utama 1MDB dihukum seadilnya oleh mahkamah," tegasnya.
Rafizi medakwa, walaupun negara tidak akan dapat kembali semua wang yang telah diselewengkan, sekurang-kurangnya rakyat mendapat keadilan apabila dalang-dalang utama 1MDB dihukum.
"Dalam konteks itu, keberanian Tok Mat menyuarakan apa yang terbuku di hati rakyat kebanyakan wajar mendapat pujian dan sokongan semua pihak," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!