Banjir Baling: Bomba tamatkan operasi menyelamat
PUTRAJAYA - Selepas tiga hari, operasi menyelamat mangsa banjir di Baling Kedah secara rasminya ditamatkan pada Rabu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi laman Facebooknya.
"Alhamdulillah. Tindakan pantas #WiraMerah menggerakkan kekuatan anggota di tahap optimum sejurus menerima pemakluman kejadian banjir berjaya menyelamat dan memindahkan 499 mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa terdiri daripada 109 keluarga kini ditempatkan di tiga PPS, iaitu SMK Jerai (164 mangsa), SMA Yayasan Khairiah (78 mangsa) dan Surau An Nur Taman Mesra (257 mangsa).
"Bagi memastikan mangsa dapat pulang ke kediaman mereka pada kadar segera, saya telah mengarahkan pasukan bomba bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) untuk mula melaksanakan operasi pembersihan jalan dan kawasan rumah penduduk terjejas," katanya.
Beliau berkata, pengurusan pascabanjir agensi-agensi berkaitan di bawah kementerian akan dipastikan dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama rapat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan.
"Saya juga mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob yang peka dengan situasi dialami mangsa menerusi pengumuman Bantuan Segera Untuk Mangsa Banjir Baling biarpun kini sedang sibuk dengan rangka lawatan rasmi ke Turkiye
"Saya mewakili #KeluargaMalaysia mengucapkan terima kasih kepada komitmen anggota penyelamat khususnya pasukan bomba, agensi berkaitan terdiri daripada PDRM, Rela, Sapura, PBS, APM dan badan sukarela," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!