Bina galeri tidak ancam pendaratan penyu
LUMUT - Pembangunan struktur yang didakwa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengancam tapak pendaratan penyu merupakan usaha menaik taraf Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Teluk Ketapang, Pangkor.
Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, sebuah galeri dibina sebagai pusat kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai serta menjadi satu produk pelancongan di pulau bebas cukai itu.
"Bangunan tersebut masih dalam pembinaan sejak Mei lalu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan bulan ini.
"Jabatan Perikanan Perak telah mengambil kira daripada semua aspek termasuk kesesuaian tapak, bangunan yang dibina bersama Jabatan Perikanan Malaysia bagi mendapatkan jenis struktur bangunan dan lokasi strategik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurutnya, kerja-kerja itu melibatkan kawasan seluas 65 meter persegi iaitu 0.16 peratus sahaja dari keseluruhan kawasan yang seluas 3.9 hektar
"Struktur yang dibina berbentuk bangunan tidak kekal dengan ketinggian satu meter dari paras tanah.
"Cahaya lampu yang digunakan juga adalah jenis lampu cahaya rendah dengan mengambil kira sensitiviti penyu," katanya.
Razman berkata, Jabatan Perikanan negeri telah memajukan permohonan kepada Majlis Perbandaran Manjung pada 22 April lalu bagi mendapatkan kelulusan merancang untuk pembinaan itu.
"Adalah menjadi tanggungjawab jabatan untuk menjaga kepentingan sumber perikanan, penyu dan mamalia marin selain menjaga kepentingan awam.
"Justeru itu, permohonan untuk merizabkan Teluk Ketapang sebagai tapak Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dilakukan seterusnya mendapat nasihat dari Penagrah Tanah dan Galian Perak," katanya.
Tambahnya, beberapa program gotong-royong, aktiviti menanam pokok ambong-ambong dan pelepasan anak penyu telah dilakukan sebagai satu usaba konservasi dan pendidikan berbentuk kesedaran awam kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!