OPR naik 25 mata asas ke 2.25 peratus: BNM

Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.25 peratus.

Kadar siling dan lantai OPR sekali gus meningkat kepada 2.50 dan 2.00 peratus.

Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat pada selama dua hari bermula Selasa.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan BNM pada Rabu, bank pusat itu berkata pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.

"Bagaimanapun, faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

"Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutamanya oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.

"Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat," memetik kenyataan itu.

Pada masa hadapan, BNM mengunjurkan kadar pertumbuhan global menjadi sederhana dan akan terus dipengaruhi oleh tekanan kos yang tinggi, konflik di Ukraine, keadaan rantaian bekalan global dan volatiliti pasaran kewangan.

Bagi ekonomi Malaysia, bank pusat itu berkata kegiatan ekonomi terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini.

Selain itu, penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.

"Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang bertambah baik.

"Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun permintaan luaran dijangka sederhana disebabkan oleh rintangan yang dihadapi oleh pertumbuhan global.

"Selain itu, pembukaan sempadan antarabangsa sejak 1 April 2022 akan menyokong pemulihan sektor berkaitan pelancongan.

"Aktiviti dan prospek pelaburan terus disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun," katanya.

Bagaimanapun, BNM berkata risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!