Lima syarikat disyaki salah guna minyak masak peket
KUALA NERUS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menyiasat lima buah syarikat yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan minyak masak peket.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, kesalahan itu dikesan melalui operasi khas yang dijalankan sejak 23 Jun lalu.
Menurutnya, lima kertas siasatan dibuka melibatkan tiga syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) serta masing-masing satu syarikat pemborong dan pembungkusan minyak masak yang beroperasi di Kuala Terengganu dan Dungun.
"Tiga IKS terlibat dikesan melanggar peraturan-peraturan 18 Kawalan Bekalan 1974 iaitu menggunakan barang berjadual (minyak masak) melebihi kuantiti yang dibenarkan tanpa permit.
"Pembungkus dan pemborong pula melanggar peraturan-peraturan 13, Kawalan Bekalan 1974 iaitu gagal menyelenggara buku stok barang kawalan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi di sebuah kilang IKS di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, pemantauan juga dijalankan terhadap 13 pembungkus, 36 pemborong, 366 peruncit dan 19 IKS di seluruh Terengganu dalam operasi yang dijalankan sejak 23 Jun lalu.
Katanya, pemeriksaan itu dijalankan susulan pengapungan harga minyak masak tulen bagi pek kemasan botol dan penetapan harga kawalan siling terbaru bagi ayam dan telur ayam.
"Kita memberi fokus kepada tempat penyimpanan bekalan, pemprosesan pengeluaran dan pembungkusan minyak masak peket disamping mendapatkan deklarasi stok untuk meneliti status sebenar jumlah bekalan minyak masak peket yang dikeluarkan oleh syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi tersebut.
"Pemeriksaan terhadap IKS pula dilakukan bagi memastikan industri tersebut tidak menggunakan minyak masak peket bersubsidi bagi tujuan perniagaan mereka kerana penggunaannya hanya untuk golongan isi rumah domestik," katanya.
Beliau berkata, mana-mana orang yang memiliki barang kawalan minyak masak bagi tujuan perdagangan melebihi 12 kilogram tanpa kebenaran kementerian boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Sekiranya didapati bersalah individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!