Johor fokus juarai industri halal
JOHOR BAHRU - Johor akan memfokuskan pelbagai usaha untuk menjuarai industri halal di negara ini.
Exco Pembangunan Keusahawanan, Sheikh 'Umar Bagharib Ali berkata, tahap kesedaran dalam kalangan pengusaha terhadap kepentingan memiliki sijil halal masih rendah terutama dalam kalangan Bumiputera.
"Isu sijil halal ini penting jadi kita tekankan untuk pastikan kita akan menjuarai pensijilan halal ini.
"Kita mahu semaksimum mungkin pengusaha memiliki sijil halal kerana mengikut dapatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kurang 40 peratus pengusaha di negara ini yang memohon sijil halal dan yang berjaya kurang 30 peratus," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor 2019, di sini, hari ini.
Menurutnya ada juga dalam kalangan pengusaha yang tidak jelas dengan prosedur hingga menyebabkan mereka gagal memperoleh sijil halal Jakim.
"Ramai pengusaha tidak dapat maklumat yang tepat tentang prosedur mohon sijil halal ini. Ada juga kes di mana pengusaha gagal dapat sijil sebab dapat salah maklumat.
"Masih ramai ada pendapat negatif tentang proses ini dan anggap prosesnya rumit dan menelan belanja tinggi," katanya.
Menyentuh soal festival yang berlangsung selama empat hari itu, Sheikh 'Umar menganggarkan penganjuran sulung itu berjaya menarik 60,000 pengunjung dengan hasil jualan melebihi RM2 juta.
Menurutnya, pelbagai sesi padanan perniagaan yang dijalankan dilihat mampu meningkatkan keyakinan dan motivasi usahawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!