Banjir: LRA Sungai Dua henti tugas, kadar kekeruhan tinggi

Kon Yeow (empat dari kiri) ketika menghadiri MOU bersama International Advertising Association World Congress pada Rabu.
Kon Yeow (empat dari kiri) ketika menghadiri MOU bersama International Advertising Association World Congress pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Semua operasi pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah dihenti tugas sementara waktu iaitu selama empat jam bermula 8 pagi hingga 12 tengahari Rabu.

Tindakan itu diambil susulan kadar kekeruhan air mentah di loji tersebut dicatatkan tinggi susulan kejadian banjir di Baling, Kedah pada Isnin lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, air mentah di loji berkenaan telah tercemar dengan selut dan pasir sehingga menyebabkan ia tidak berfungsi dengan baik.

Menurutnya, penutupan operasi LRA itu menyebabkan beberapa kawasan di kawasan Seberang Perai mengalami masalah tekanan air rendah untuk sementara waktu.

"LRA ini mengeluarkan lebih 80 peratus air terawat kepada seluruh Pulau Pinang setiap hari adalah amat penting kepada seluruh rakyat negeri ini.

"LRA Sungai Dua terjejas kerana menerima aliran air mentah Sungai Muda yang terlalu keruh dipercayai kesan daripada banjir kilat yang berlaku di Baling, Kedah.

"Berikutan itu, keadaan ini telah menyukarkan pengoperasian sehingga menyebabkan loji rawatan tersebut tidak dapat berfungsi dengan baiknya, dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa menghentikan pengoperasian rawatan air bermula pada 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi (Rabu)," katanya pada sidang akhbar di Komtar.

Sebelum itu, Kon Yeow menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama International Advertising Association World Congress pada Rabu.

Jelas Kon Yeow, bagi memastikan pengguna di Pulau Pinang mendapat bekalan air bersih, PBAPP telah mengambil tindakan awal dengan mengalirkan air mentah dari Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai ‘empangan strategik’.

"Air di Empangan Mengkuang hanya digunakan ketika waktu kecemasan. Pada waktu biasa, kita menggunakan sumber air dari Sungai Muda.

''Empangan Mengkuang mampu bertahan sehingga 100 hari untuk menyalurkan air kepada 85 peratus pengguna di seluruh negeri.

"Pada masa ini kita tidak dapat menggunakan bekalan air dari Sungai Muda mungkin dalam tempoh beberapa hari lagi sehingga keadaan air kembali baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pada jam 6 pagi Rabu, kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU).

Katanya, ia adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi yang mana kekeruhan normal Kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU.

"Sebagai langkah pemulihan, PBAPP segera mengurangkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan air mentah yang disimpan di Empangan Mengkuang untuk mengurangkan kekeruhan air mentah di Terusan Sungai Dua.

"Pada jam 12 tengah hari, apabila paras kekeruhan air mentah yang memasuki loji berada pada tahap yang boleh diterima, PBAPP memulakan semula operasi pengeluaran air di LRA Sungai Dua secara berperingkat," katanya.

Tambahnya, PBAPP menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang akan dipulihkan pada jam 12 tengah hari pada Khamis.

"PBAPP akan terus memantau kekeruhan air yang diabstrak dari Sungai Muda secara berterusan 24 jam seminggu.

"Kami akan terus melepaskan air dari Empangan Mengkuang bagi memastikan tahap kekeruhan air mentah yang selamat untuk LRA Sungai Dua," katanya.

Bencana banjir di Baling kelmarin telah meragut tiga nyawa dan menjejaskan seramai 1,490 orang mangsa melibatkan 112 ketua isi rumah (KIR).

Tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu PPS SMK Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!