Elanghovan cipta rekod Rakyat Malaysia tertua tawan Everest
KUALA LUMPUR - Pendaki gunung N Elanghovan mencatat namanya dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Rakyat Malaysia Tertua Mendaki Gunung Everest’ iaitu pada usia 64 tahun.
Perunding Rekod Kanan MBOR, Edwin Yeoh menyerahkan sijil tersebut kepada anak kelahiran Cameron Highland itu dalam satu majlis yang diadakan di pejabat MBOR di sini pada Rabu.
Pesara Tenaga Nasional Berhad itu menjejakkan kaki ke puncak Everest yang berketinggian 8,849 meter pada 9.17 pagi waktu Nepal (11.32 pagi waktu tempatan) pada 12 Mei lepas.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis, Elanghovan berkata, usia bukanlah penghalang untuk beliau mencapai impiannya itu.
"Rakyat Malaysia, terutama generasi muda mestilah mengambil cabaran dalam kehidupan, tanpa cabaran, kehidupan tidak bermakna. Mesti mempunyai minat mendalam sama ada dalam pelajaran, sukan atau apa saja, turutilah minat itu... antaranya mendaki gunung.
"Di Malaysia, kita mempunyai banyak tempat mendaki, manakala di luar negara terdapat pendakian alpine yang memerlukan peralatan teknikal. Saya nasihatkan semua supaya mempunyai gaya hidup aktif demi kesihatan dan kesejahteraan mereka,” ujarnya yang mesra dipanggil Elango.
Pemegang rekod itu dalam kategori tersebut sebelum ini ialah arwah Idris Said dari Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Idris adalah anggota Ekspedisi Everest Persatuan Kembara Negara (PKN) pada 2007 dan melakukan aksi tersebut pada usia 52 tahun. Beliau meninggal dunia pada 1 Januari 2017.
Ditanya tentang bajet mendaki gunung tertinggi dunia itu, Elango berkata, kosnya mencecah lebih RM200,000 dan suku daripadanya disumbangkan oleh kawan-kawan dan anggota keluarga, malah beliau juga menjual rumahnya di Shah Alam untuk mengumpul dana.
"Kos mendaki Everest bukan murah, kita kena bayar AS$40,000 (kira-kira RM177,000) kepada syarikat di Nepal sebelum bertolak. Daripada jumlah itu, AS$11,000 adalah permit, manakala AS$29,000 untuk perbelanjaan seperti makanan, logistik dan sherpa. Kami tinggal di Kem Pangkalan Everest kira-kira dua bulan untuk menyesuaikan diri dan latihan teknikal.
"Ia tak termasuk tambahan AS$9,000 untuk pembelian peralatan dan lebih RM50,000 untuk latihan sejak 2014," katanya.
Ditanya tentang misinya selepas ini, Elango berkata beliau merancang untuk menakluk kesemua puncak G7 iaitu tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua.
Selain Everest di Asia dan Gunung Kilimanjaro di Afrika (5,895 meter) yang dilakukan pada Ogos 2016, Elango berhasrat untuk mendaki Gunung Aconcagua (6,961 meter) di Argentina, Amerika Selatan; Gunung Denali (6,194 meter) di Alaska, Amerika Utara; Gunung Elbrus (5,642 meter) di Rusia, Eropah; Gunung Vinson Massif (4,892 meter) di Antartika dan Gunung Kosciuszko (2,228 meter) di Australia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!