Penduduk Pulau Pinang panik beli air minuman botol

A
A
A

KEPALA BATAS - Orang ramai terutamanya penduduk di kawasan Seberang Perai berpusu-pusu ke kedai runcit dan pasar raya untuk membeli air minuman botol selepas bekalan air dilaporkan terputus secara tiba-tiba.

Pembelian panik itu dibuat selepas ada desas-desus mengatakan gangguan bekalan air itu akan berlaku dalam beberapa hari akan datang, malah ada yang mendakwa sehingga minggu hadapan.

Tinjauan di sebuah pasar raya di Bertam mendapati, orang ramai mula membuat pembelian panik dengan memborong berkotak-kotak air minuman sebagai persediaan menghadapi masalah bekalan air.

Seorang suri rumah, Aminah Jusoh, 45, ketika ditemui berkata, dia mendapat tahu mengenai masalah gangguan air itu melalui laman Facebook dan bergegas ke pasar raya terdekat dengan ditemani anak lelaki sulungnya.

"Jika tak ada air, semua kerja tak jadi. Kena pula banyak hari tak ada air, jenuh. Nak basuh, nak masak, nak minum, semua guna air.

"Tak ada air ini lebih menyeksakan daripada tak ada api (elektrik). Sudahlah notis awal (amaran) pun tak ada (tak diberikan)," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Sementara itu, pegawai kerajaan, Mohd Hasbullah Hashim, 40- an berkata, dia dimaklumkan isterinya mengenai ketiadaan bekalan air di rumah pada tengah hari Rabu.

Menurutnya, sebelum pulang ke rumah, dia singgah ke pasar raya tersebut untuk membeli bekalan air minuman untuk kegunaan keluarganya.

"Saya ada anak kecil, memang susah kalau tak ada air. Saya baru habis kerja, terus ke sini untuk borong air botol (air minuman).

"Yang jadi kelam kabut ni, sebab tak ada notis. Kita ada anak kecil, memang paniklah," katanya.

Kakitangan swasta, Iswan Shafiq Isa, 30-an berkata, sehingga jam 6 petang, kediamannya belum mempunyai bekalan air.

Iswan Shafiq
Iswan Shafiq

"Memang susah bila tak ada air, semua kerja tak jadi. Saya harap masalah ini cepat diselesaikan.

"Jika berterusan banyak hari, risau juga bekalan air yang saya beli ni tak mencukupi untuk kegunaan kami sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk Kepala Batas, Azizi Safar, 50-an berkata, bekalan air mula ada kira-kira jam 4 petang tadi tetapi amat perlahan.

"Tengah hari tadi tak ada terus, tetapi mula jam 4 petang tadi, dah ada tetapi perlahan.

"Oklah perlahan, boleh juga tadah dalam baldi berbanding tengah hari tadi, langsung tak ada (air)," katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, semua operasi pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah dihenti tugas sementara waktu iaitu selama empat jam bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari Rabu.

Tindakan itu diambil susulan kadar kekeruhan air mentah di loji tersebut dicatatkan tinggi susulan kejadian banjir di Baling, Kedah pada Isnin lalu.

Kon Yeow berkata, air mentah di loji berkenaan telah tercemar dengan selut dan pasir sehingga menyebabkan ia tidak berfungsi dengan baik.

Menurutnya, penutupan operasi LRA itu menyebabkan beberapa kawasan di kawasan Seberang Perai mengalami masalah tekanan air rendah untuk sementara waktu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pada jam 6 pagi Rabu, kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU).

Katanya, ia adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi yang mana kekeruhan normal Kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU.

Tambahnya, PBAPP menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang akan dipulihkan pada jam 12 tengah hari pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!