Ongkili tidak setuju usul Perjanjian Malaysia Baharu

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
A
A
A
KOTA KINABALU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Rabu menzahirkan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan usul Perjanjian Malaysia baharu.

Beliau berkata, Perjanjian Malaysia yang asal dan ditandatangani pada 1963 atau lebih dikenali sebagai MA63, adalah satu dokumen suci serta asas berkaitan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, langkah membuang MA63 adalah seolah-olah meninggalkan Persekutuan Malaysia.

"Tiada MA63, tiada Malaysia. Tambahan pula, dengan pindaan perlembagaan yang diluluskan sebulat suara oleh Parlimen pada Disember 2021, MA63 kini menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan ... (usul) ini tidak akan memperkukuh Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

"Kita mesti membina kekuatan, kedamaian dan solidariti. Kita perlu mengelak bermain dengan semantik dan politik,” katanya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah di Penampang Sabtu lepas, mencadangkan agar kepimpinan BN negeri itu mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu sebagai langkah lebih konkrit ke arah merealisasikan hak-hak dan tuntutan negeri sebagaimana yang termaktub dalam MA63.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!