Bantahan AGC permohonan Rosmah cabar lantik Sri Ram 4 Ogos

Datin Seri Rosmah Mansor
Datin Seri Rosmah Mansor
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan baharu Datin Seri Rosmah Mansor untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion dan membatalkan keseluruhan prosiding yang berlangsung sejak 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 4 Ogos ini untuk mendengar bantahan AGC dan Sri Ram terhadap permohonan Rosmah.

Peguam Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Rosmah, berkata pihaknya menerima notis bantahan AGC menerusi e-mel hari ini pada kira-kira 2.50 petang dan memerlukan masa untuk menyediakan hujahan bertulis berhubung perkara itu.

"Kami memerlukan masa seminggu untuk menyediakan hujahan bertulis sebagai respons kepada bantahan itu," katanya pada prosiding hari ini yang berlangsung melalui aplikasi Zoom.

Hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan Rosmah bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman. Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili AGC.

Sementara itu, Sri Ram yang dinamakan sebagai responden ketiga dalam permohonan Rosmah berkata, beliau telah memfailkan afidavit bulan lepas bagi membantah permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman atas alasan ia menyalah guna proses mahkamah.

AGC pula membantah permohonan itu atas alasan ia tiada merit, remeh, menyusahkan dan salah guna proses mahkamah.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun lepas di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Beliau memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.

Rosmah juga memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 hinggalah pembelaan menutup kesnya adalah tidah sah serta terbatal dan oleh itu, beliau harus dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berdepan pertuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!