Saintis temui lubang baharu di lapisan ozon
WASHINGTON - Saintis mendakwa terdapat lubang baharu di lapisan ozon bumi dikesan sekali gus meletakkan kira-kira separuh penduduk planet ini berada dalam bahaya kerana berisiko menghidap penyakit kanser kulit, menurut laporann jurnal AIP Advances baru-baru ini.
Lubang itu tujuh kali lebih besar daripada sebuah lagi lubang ozon yang ditemui di Antartika sebelum ini.
Ia wujud sepanjang tahun dan terbentuk sejak tahun 1980-an lagi.
Lubang tersebut terletak di kawasan yang membentuk separuh kawasan permukaan bumi dan menempatkan separuh daripada populasi dunia.
Qing-Bin Lu, seorang saintis dari Universiti Waterloo di Ontario, Kanada, mendedahkan lubang itu mengejutkan saintis lain kerana ia tidak ditunjukkan pada pemodelan yang digunakan oleh kebanyakan penyelidik.
Penipisan lapisan ozon boleh menyebabkan tahap sinaran ultra ungu (UV) yang lebih tinggi sampai ke permukaan bumi yang boleh meningkatkan risiko kanser kulit dan katarak pada manusia selain melemahkan sistem imun serta memusnahkan pertanian.
"Kewujudan lubang ozon mungkin menimbulkan kebimbangan global yang besar.
"Penipisan lapisan ozon boleh menyebabkan peningkatan sinaran UV yang boleh meningkatkan risiko kanser kulit dan katarak pada manusia, melemahkan sistem imun manusia, mengurangkan produktiviti pertanian, memberi kesan negatif kepada organisma akuatik serta ekosistem yang sensitif," ujar Lu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!