UniSZA hantar pelajar bantu mangsa banjir di Baling
KUALA NERUS – Prihatin dengan keadaan mangsa banjir dan kepala air di Baling, Kedah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif menghantar 62 sukarelawan dalam misi bantuan banjir di sana.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniSZA, Datuk Dr Mohd Hafiz Yusoff berkata, sukarelawan tersebut melibatkan 40 pelajar dan 22 kakitangan untuk membantu penduduk yang terjejas dalam bencana berkenaan.
Menurut beliau, misi bantuan selama dua hari bermula Khamis itu melibatkan bantuan dari segi membersihkan rumah mangsa dan kawasan yang terjejas.
“Selain membersihkan kediaman, misi ini turut memberi bantuan asas seperti beras, lampin pakai buang, air bersih dan makanan kepada mangsa banjir,” katanya pada Majlis Perlepasan Misi Bantuan Banjir di kampus Gong Badak di sini pada Rabu.
Perlepasan tersebut disempurnakan Pengarah Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP), Dr Akila Mamat.
Misi bantuan banjir UniSZA di Baling, Kedah melibatkan logistik seperti dua buah bas, tiga kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori.
Pada Isnin, hujan lebat selama tiga jam telah menyebabkan berlakunya insiden kepala air serta banjir membabitkan 11 kampung di daerah Baling.
Kejadian itu turut meragut tiga nyawa, manakala lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selain tujuh rumah musnah manakala kira-kira 70 rumah lagi rosak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!