Singapura sahkan catat satu kes tempatan cacar monyet
SINGAPURA - Singapura mengesahkan satu kes tempatan jangkitan cacar monyet melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun yang menetap di republik itu.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), pesakit itu disahkan positif cacar monyet pada 6 Julai dan kini dimasukkan ke wad di Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID).
"Keadaannya stabil. Kesnya tiada kaitan dengan kes import yang diumum MOH pada 21 Jun,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan dikeluarkan di laman sesawangnya Rabu malam.
Menurut kementeril kes itu pada awalnya mengalami ruam pada kulit bahagian bawah perut pada 30 Jun, dan kemudian mengalami keletihan dan bengkak kelenjar limfa pada 2 Julai.
Kes mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Julai dan mendapatkan rawatan perubatan.
Pesakit turut menjalani ujian awal untuk mengesan kemungkinan ada masalah lain.
"Apabila ujian itu kembali negatif, kes kemudiannya dihantar ke NCID pada 6 Julai, untuk menjalani kuarantin dan penilaian lanjut," menurut kenyataan itu.
Sehingga 6 Julai, tiga kontak rapat telah dikenal pasti membabitkan dua rakan serumah dan satu kontak sosial.
"Semua kontak rapat pesakit akan dikuarantin selama 21 hari dari kali terakhir mereka berhubung. Pengesanan kontak sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!