Fabianski sambung bakti di London

Fabianski
Fabianski
A
A
A

PENJAGA gol West Ham United, Lukasz Fabianski menandatangani lanjutan kontrak sekali gus membolehkannya kekal di London sehingga musim panas 2023.

Pemain berusia 37 tahun itu menyertai The Hammers dari Arsenal pada musim panas 2018 dan menjadi sebahagian daripada tulang belakang pencapaian skuad David Moyes ketika ini.

Biarpun terdapat pilihan melanjutkan perjanjian untuk satu tahun lagi, namun bekas pemain antarabangsa Poland itu merasakan terdapat banyak sebab untuk bersikap positif ketika kelab tersebut bersedia sekali lagi kembali kempen Eropah.

“Ya, sejujurnya saya sangat gembira apabila terus kekal semusim lagi di London, jadi saya teruja untuk memulakan kempen bersama West Ham United.

“Cara kelab ini berkembang untuk mencapai potensi sejak kebelakangan ini menarik perhatian saya, ia sangat bagus dapat menjadi sebahagian proses perkembangan tersebut.

“Sepanjang beraksi saingan domestik, saya dapat melihat sejauh mana tumpuan diberikan kelab ini apabila berinteraksi dengan para peminat atau cara ia disampaikan di media.

"Saya fikir terdapat banyak elemen positif dalam kelab, apatah lagi ia antara kelab yang terbesar di negara ini. Jadi saya berbesar hati dan bangga menjadi sebahagiannya untuk beberapa tahun sekarang," katanya.

Untuk rekod, West Ham kendalian Moyes menduduki tempat ketujuh musim lalu dan turut mara ke separuh akhir Liga Europa.

Musim baharu, Moyes sudah pun bergerak memperkukuhkan lagi skuad kendalliannya itu dengan ketibaan pemain pertahanan Maghribi, Nayef Aguerd dari Rennes manakala penjaga gol Alphonse Areola bertukar dari Paris Saint-Germain selepas berjaya dipinjamkan.

Dalam pada itu, West Ham juga dikaitkan dengan penyerang Chelsea, Armando Broja dan penyerang kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers, Ben Brereton Diaz.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!