'Saya bukan tali barut halang tuntutan MA63'
KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan beliau bukan tali barut yang menghalang usaha untuk menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, beliau hanya menyarankan bahawa sudah tiba masanya pemimpin di Sabah bertindak dengan bijak dalam menuntut hak rakyat Sabah yang termaktub dalam MA63 daripada kerajaan Pusat.
"Saya bukan tali barut, saya hanya berkata sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak secara bijak dan saya tidak pernah berkata untuk menidakkan perjanjian MA63.
"Apa yang saya kata pemimpin yang bijak akan mencari jalan penyelesaian, tetapi sebaliknya pemimpin yang lemah dan rapuh akan terus memainkan isu ini walaupun dia sendiri tahu isu ini tidak akan selesai," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tuduhan tidak berasas mengenai cadangan yang diluahkan pemimpin BN berhubung usaha merealisasikan sepenuhnya tuntutan MA63 pada Konvensyen BN Sabah baru-baru ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, hanya pemimpin yang bijak mampu mencari jalan bagi mencapai tuntutan MA63 tanpa perlu menunjukkan emosi yang berlebihan.
"Ada pepatah mengatakan pemimpin yang tidak bijak seumpama anjing menyalak bukit, beratus tahun pun dia menyalak, bukit tidak akan runtuh.
"Sebaliknya, pemimpin bijak diibaratkan seperti anjing yang pandai, kurang menyalak tetapi ia akan menyusuri jalan kecil sehingga ke puncak bukit dan mendapatkan apa yang dia mahu," katanya.
Ketua UMNO Sabah itu berkata, perjanjian baharu yang dicadangkan dalam isu tuntutan MA63 bermakna semua perkara yang menjadi halangan atau kekangan untuk melaksanakan perjanjian yang dipersetujui akan dihapuskan.
Katanya, dengan cara itu Sabah akan mendapat lebih peruntukan dan bukan seperti yang diperjuangkan oleh pemimpin yang berjuang tetapi untuk mencari publisiti murahan semata-mata.
Jelasnya, MA63 telah dimeterai berpuluh puluh tahun lalu, namun belum ada penyelesaian walaupun sudah ramai pemimpin tampil memperjuangkan isu itu termasuk ada yang dipenjarakan.
"Hakikatnya walaupun isu ini (MA63) telah dibincang beratus kali, dibahas beribu kali, pemimpin demi pemimpin datang dan pergi, ada pemimpin dan orang perseorangan yang membawa isu ini dan ada yang masuk penjara kerana terlalu beremosi atau 'extreme', namun isu MA63 masih tidak selesai.
"Perjuangan untuk mendapatkan hak Sabah dalam MA63 masih tidak dicapai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!