Perak cadang wujudkan bank tanah untuk pertanian

Razman
Razman
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kerajaan negeri dalam proses mewujudkan bank tanah bagi membolehkan pengusaha memajukan tanah terbiar dalam menjamin sekuriti makanan, kata Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Beliau berkata, cadangan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Sekuriti Makanan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohammad baru-baru ini yang disertai agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

"Langkah ini untuk membantu industri makanan dalam negeri dan memajukan tanah-tanah terbiar ke arah meningkatkan hasil termasuk peningkatan hasil padi untuk sara diri,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Ladang peringkat daerah Kuala Kangsar di Dewan Chandan Putri di sini pada Khamis.

Pada 28 Jun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021 hingga 2025.

Razman berkata, dengan adanya bank tanah kelak, ia akan memudahkan pengusaha memohon tanah untuk dimajukan sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran bekalan makanan.

"Kita menerima banyak permohonan banyak dari pengusaha yang mencari tanah untuk memajukan sektor pertanian dan kita mempunyai banyak tanah seperti di bawah pencawang elektrik yang boleh dimajukan.

"Apabila ada pengusaha yang ingin tanam jagung kita boleh tunjukkan tanah kosong di bawah milik Jabatan Pertanian, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan tanah-tanah milik persendirian di lokasi yang boleh dikenal pasti seperti di daerah Hulu Perak dan Larut Matang Selama yang belum dimajukan kerana masalah sistem pengairan,” tambahnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!