Rusia akan pelbagaikan eksport minyak, gas secara sistematik
MOSCOW - Moscow akan mempelbagaikan eksport minyak dan gas aslinya secara sistematik dan kekal komited kepada kontrak sedia ada, menurut Kementerian Luar Rusia pada Rabu lapor Sputnik.
"Rusia menyumbang kepada pengukuhan keselamatan makanan dan tenaga dengan memenuhi kewajipannya dengan ikhlas.
"Tahun ini kami merancang untuk menghantar kira-kira 50 juta tan metrik bijirin ke luar negara. Kami akan meluaskan geografi eksport minyak, petrol dan gas asli secara sistematik,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa masalah kekurangan makanan, baja dan bahan api diburukkan lagi dengan sekatan yang dikenakan oleh Barat ke atas Rusia.
"Negara sedang membangun, yang tidak berdikari, menanggung beban utama akibat sekatan itu,” menurut kenyataan itu.
Rusia akan terus menggesa agar sekatan itu ditamatkan dan akan menggalakkan hubungan perdagangan pelbagai hala yang terbuka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!