ASEAN kerjasama tarik lebih ramai pelancong

ASEAN akan terus bekerjasama untuk menarik lebih ramai pelawat ke rantau ini dan dalam usaha menghidupkan kembali industri pelancongan. - Foto 123rf
ASEAN akan terus bekerjasama untuk menarik lebih ramai pelawat ke rantau ini dan dalam usaha menghidupkan kembali industri pelancongan. - Foto 123rf
A
A
A

VIENTIANE - ASEAN akan terus bekerjasama untuk menarik lebih ramai pelawat ke rantau ini dan dalam usaha menghidupkan kembali industri pelancongan.

Menurut laporan Agensi Berita Vietnam (VNA), perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Pelancongan ke-56 dari 5 hingga 6 Julai.

Pegawai ASEAN yang mengambil bahagian berkata, mereka akan terus bekerjasama untuk memulihkan semula pelancongan di rantau ini di bawah pelan tindakan yang diluluskan awal tahun ini, dengan kerjasama sektor-sektor berkaitan.

Matlamat utama adalah untuk merangsang semula industri dan memulihkan bilangan pelawat ke tahap pra pandemik.

"Ini termasuk pembangunan produk pelancongan yang pelbagai, kempen-kempen pemasaran, penambahbaikan standard pelancongan dan ketersambungan, serta penggunaan lebih banyak sistem digital untuk memudahkan pelancong akses kepada maklumat," lapor VNA memetik Vientiane Times.

Mesyuarat itu juga mengambil maklum bahawa banyak negara anggota telah menerima pakai dasar dan langkah-langkah untuk memudahkan perjalanan di rantau ini, seperti memudahkan prosedur untuk ketibaan dan pelepasan pelancong.

Selain itu, pihak berkuasa di ASEAN akan bekerjasama dengan rakan dialog dan organisasi antarabangsa untuk mengukuhkan sektor itu dan memudahkan pelancong melakukan perjalanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!