Galak orang muda jadi usahawan

Azmi (kiri) bersama Che Zakaria dan Che Wan Muhammad Hafiz ketika penyampaian sumbangan untuk sekolah-sekolah terjejas akibat pencemaran kimia di Sungai Kim Kim.
Azmi (kiri) bersama Che Zakaria dan Che Wan Muhammad Hafiz ketika penyampaian sumbangan untuk sekolah-sekolah terjejas akibat pencemaran kimia di Sungai Kim Kim.
A
A
A

PASIR GUDANG - Golongan muda terutama lepasan siswazah di negeri ini digalakkan menyertai bidang keusahawanan francais.

Adun Permas Jaya, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata lepasan sisawazah yang masih menganggur boleh menyertai kursus-kursus franchisee.

"Dengan ini mereka dapat mengenali apa itu francais secara dekat dan mengkaji potensi perniagaan francais yang menarik minat mereka," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan cawangan Gloria Jean's Coffees di Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, hari ini.

Menurutnya, usahawan perlu bijak mengambil peluang termasuk menceburi industri kopi.

"Budaya minum kopi semakin meluas dalam kalangan masyarakat jadi perkara ini perlu diteliti secara kritis.

"Usahawan bumiputera khususnya perlu bijak mengambil peluang dan melihat senario ini sebagai peluang yang baik untuk diceburi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise), Datuk Azmi Mohd Ali berkata peluang sentiasa terbuka kepada mana-mana individu yang berminat menjadi francaisi kepada jenama 'gourmet coffee' antarabangsa itu.

"Di KPJ Pasir Gudang ini, francaisinya masih muda, malah paling muda, Che Wan Muhammad Hafiz Che' Wan Aminud-Din baru 23 tahun tapi berani.

"Memang kita galakkan orang muda malah sesiapa sahaja menyertai bisnes ini sekiranya berminat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, gelombang ketiga kopi selepas pelbagai jenis kopi diperkenalkan menyebabkan kesedaran minum kopi itu meningkat dalam kalangan rakyat negara ini.

Bagi Che Wan Muhammad Hafiz pula, menguruskan perniagaan tanpa pengalaman atau latar belakang pendidikan memang berisiko namun katanya berdasarkan realiti hari ini, peluang itu perlu dicipta.

"Saya lihat ramai graduan yang masih tidak memiliki pekerjaan dan sekiranya mereka dapat pekerjaan tapi gaji diterima tidak setimpal atau mereka tidak puas hati dengan pekerjaan mereka

"Jadi saya berbincang dengan keluarga dan selepas enam bulan akhirnya saya putuskan untuk mencipta peluang dengan berniaga," katanya yang baru menyelesaikan A Level di sebuah kolej swasta.

Dalam pada itu, sempena pembukaan cawangan ke-42 itu, pemilik rangkaian Gloria Jean's Coffees, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang untuk sekolah-sekolah yang terlibat dengan kes pencemaran kimia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!