Kadar pengangguran Malaysia menurun pada Mei

Kadar pengangguran negara menurun 1.8 peratus pada Mei tahun ini. - Foto hiasan
Kadar pengangguran negara menurun 1.8 peratus pada Mei tahun ini. - Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar pengangguran negara menurun 1.8 peratus pada Mei tahun ini iaitu seramai 637,700 orang berbanding 649,300 orang bulan sebelumnya, demikian menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Mei 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh pada Mei 2022 mengukuh dengan peningkatan 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.54 juta orang, berbanding 16.5 juta orang pada April.

"Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sedikit kepada 69.5 peratus daripada 69.4 peratus pada April 2022, menunjukkan lebih banyak pertumbuhan guna tenaga yang stabil,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, penduduk bekerja menunjukkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.3 peratus untuk merekodkan 15.90 juta orang pada Mei berbanding 15.85 juta orang pada April.

Mohd Uzir berkata, komposisi terbesar penduduk bekerja adalah kategori pekerja dengan 76.2 peratus, dan kategori itu meningkat 0.2 peratus kepada 12.11 juta orang berbanding 12.09 juta orang bulan sebelumnya.

Katanya, penduduk bekerja sendiri pula bertambah sebanyak 0.7 peratus kepada 2.74 juta orang pada Mei, berbanding 2.72 juta orang pada bulan sebelumnya.

"Aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada bulan Mei mendorong kepada lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan, justeru memberi lebih banyak peluang kepada perniagaan bagi menjana semula pendapatan mereka,” katanya.

Dalam sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mengekalkan trend positif terutama dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan makanan dan minuman. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!