Gunung Inas bukan kawasan berisiko bencana

Takiyuddin ketika sidang media di Pusat Media Bencana Banjir Baling pada Khamis.
Takiyuddin ketika sidang media di Pusat Media Bencana Banjir Baling pada Khamis.
A
A
A

BALING - Gunung Inas yang terletak berdekatan lokasi berlaku kejadian banjir dan kepala air sebenarnya bukan dalam senarai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebagai kawasan berisiko bencana.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kejadian yang berlaku tidak dijangka dan JMG kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) menyiasat dan mencari punca kejadian.

“Setakat ini, Gunung Inas tidak tersenarai dalam kawasan berisiko bencana alam kerana kalau ikut temu bual penduduk yang berusia lebih 70 tahun, dia kata ini pertama kali insiden seumpama ini berlaku.

"Bayangkan sejak 70 tahun lalu atau lebih lama lagi tidak pernah berlaku, bagi saya ini adalah bencana alam.

“Tetapi, saya dapat maklumat ada kawasan-kawasan terutama berdekatan kawasan perumahan dan tumpuan awam seperti tempat berkelah atau taman eko rimba (yang berisiko) untuk kita pastikan ada tindakan sewajarnya,” katanya ketika meninjau kawasan bencana dan pusat pemindahan sementara di sini pada Khamis.

Menurut Takiyuddin, kedua-dua jabatan berkenaan akan turut melakukan tinjauan udara menerusi dron di gunung itu untuk melihat dengan lebih terperinci punca kejadian.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, kementerian akan memastikan semua lokasi berisiko bencana akan diberi perhatian sewajarnya.

"Ia termasuk melihat keperluan untuk memasang Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Aliran (EWS) seperti dilaksanakan di Titi Hayun, Gunung Jerai bagi memberi amaran awal kepada penduduk," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga mangsa terkorban dalam kejadian kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Baling selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!