Setiap kali cuti sekolah, nak raya air tak ada
JEMPOL - Lebih 80 rumah di Felda Palong 2 membabitkan Blok 9 hingga 12 di sini masih dibelenggu dengan masalah gangguan bekalan air sejak 30 tahun lalu terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Keadaan itu didakwa semakin ketara dalam tempoh empat hari kebelakangan ini, sekali gus memberi kebimbangan kepada penduduk yang rata-ratanya bakal menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Ahli Jawatankuasa Blok 11 Felda Palong 2, Anuar Omar, 62, berkata, Blok 9 hingga 12 berada di kawasan yang tinggi menyebabkan penghuninya sering mengalami masalah ketiadaan bekalan air.
"Saya terpaksa membeli tangki dan peralatan berkaitan lebih RM500 untuk menyimpan air kegunaan membasuh pinggan, mandi dan membasuh baju.
"Macam di rumah saya ini ada enam ahli keluarga. Air memang keperluan utama lebih-lebih lagi anak saya, Raja Nor Aishah, 40, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pekak bisu mengusahakan perniagaan bahulu serta kek dari rumah," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Jelasnya, sukar untuk anaknya itu menyiapkan tempahan apabila air tiada, malah terpaksa mengambil inisiatif mengisi air tapisan buat makan, minum dalam botol-botol bersaiz kecil dan besar bagi kemudahan anaknya itu mencari rezeki.
"Malah, untuk Hari Raya Aidiladha ini juga saya masih belum membuat keputusan untuk membuat tempahan 28 batang lemang memandangkan masalah gangguan air ini," katanya.
Bagi seorang lagi penduduk, A Rahman Jaaffar, 67, isu air itu bukan masalah baharu dan ia akan muncul setiap kali cuti sekolah dan perayaan sehingga menyebabkan anak-anak pulang ke kampung berasa kurang selesa.
"Macam generasi kedua yang ramai anak, saya kesian kerana mereka terpaksa menyimpan air dalam jumlah yang banyak bagi mengelak putus bekalan.
"Oleh itu, saya harap sangat agar masalah ini dapat diselesaikan terutama membabitkan paip-paip lama yang masih belum ditukar di kawasan Felda ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Che Asmah Ariffin, 62, berkata, dia sudah lali dengan gangguan air namun berharap ia segera ditangani.
"Sampai bila pun tidak tahulah, harap segera berakhirlah lagi-lagi nak raya ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!