Jasad bekas Timbalan Presiden MIC selamat dikebumi
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden MIC, mendiang, Tan Sri S Subramaniam yang meninggal dunia pada Selasa, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park, Shah Alam pada Khamis.
Mendiang yang diserang strok pada 2011 dan terlantar sejak itu meninggal dunia dalam tidur, kira-kira 8 malam di kediamannya di Petaling Jaya, dekat sini pada usia 78 tahun.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk mendiang pada hari ini adalah Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia dan beberapa pemimpin kanan parti tersebut.
Mendiang meninggalkan isteri, Puan Sri Tina Subramaniam, 70, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Subramaniam pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Damansara dan Segamat antara tahun 1974 hingga 2004 selain, mendiang juga pernah memegang jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Dalam arena politik, Subramaniam mula menjadi ahli MIC pada tahun 1962 dan pernah menyandang jawatan sebagai setiausaha agung, naib presiden dan timbalan presiden. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!