Bubu naga, hasil ikan dirampas
TANJUNG KARANG - Kegiatan terlarang menangkap ikan menggunakan bubu naga di kedudukan 3.5 batu nautika dari Pantai Tanjung Karang di sini, berjaya dikesan menerusi Op Bubu Naga pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Sufian Sulaiman berkata, operasi sepasukan anggota Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Negeri Selangor itu dijalankan pada jam 7.40 pagi.
"Operasi ini berjaya menemui 29 unit bubu naga dengan rampasan 50 kilogram pelbagai jenis ikan seperti ketuka, gelama, sembilang, malong, buntal dan daun baharu selain spesies sotong kurita dan udang lipan.
"Dianggarkan nilai rampasan mencecah RM2,500," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, kesemua barang rampasan itu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
"Adalah satu kesalahan menangkap ikan di perairan negara dengan menggunakan peralatan tangkapan yang tidak dilesenkan.
"Operasi akan terus dilaksanakan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!