Ladang durian di Gunung Inas, MB persoal laporan EIA
KULIM - Ladang durian musang king yang dibangunkan di puncak Gunung Inas, Baling kemungkinan tidak melakukan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) sebelum syarikat terlibat melaksanakan projek terbabit.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri tidak pasti bagaimana projek terbabit diberikan kebenaran membangunkan ladang durian kerana syarat ketat ditetapkan untuk pembangunan melebihi paras ketinggian 300 meter dari aras laut.
Menurutnya, antara syarat ketat berkenaan termasuk penebangan adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk tanah melebihi 300 meter dari aras laut, menyebabkan beliau telah mengarahkan agar projek tersebut dihentikan pada Julai 2020.
“Setiap ladang hutan sepatutnya ada laporan EIA, macam mana EIA boleh lulus? Dulu kita ada ketetapan dalam undang-undang, mana-mana tanah yang lebih 1,000 kaki (304 meter dari aras laut) pokok tidak boleh tebang.
"Tetapi dalam lawatan saya ke puncak semalam (Rabu), sudah tiada pokok balak, hanya ada pokok biasa. Ini bermakna penerokaan berlaku sampai ke puncak, ini sudah pun langgar syarat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis meletakkan batu asas pembinaan kilang Infineon Technologies di sini pada Khamis.
Mengulas mengenai pemilik ladang durian musing king berkenaan, Muhammad Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri memberi kelulusan ladang hutan kepada Aman Mega Sdn Bhd untuk membangunkan tanaman getah jenis timber latex clon (TLC) pada 2007.
“Pada 2008, ketika itu, bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak meneruskan projek berkenaan namun syarikat terbabit beranggapan kayu balak juga milik mereka.
“Syarikat terbabit tidak berhak ke atas kayu balak yang ditebangnya menyebabkan mereka tak mahu teruskan dan ‘lari’, kayu balak itu kerajaan negeri buat tawaran tender,” katanya lagi.
Menurutnya, kelulusan membangunkan ladang hutan itu kemudian diserahkan kepada Kedah Agro untuk tanaman getah TLC seluas 161 hektar.
“Pada 2013 kerajaan negeri bertukar lagi, tanaman getah TLC itu dihentikan dan pemilikan tanah pula berubah-ubah. Syarat diberikan ia dibangunkan secara usaha sama bersama Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah dengan bayaran tertentu.
"Ia kes lama dan berubah-ubah, perlu periksa dahulu siapa syarikat terkini yang miliki tanah atau ladang durian musang king itu. Masa saya ambil alih kerajaan negeri, memang sudah ditanam durian,” katanya.
Mengulas mengenai desakan beberapa pihak agar kerajaan negeri menubuhkan suruhanjaya siasatan bencana kepala air Gunung Inas, Muhammad Sanusi tegaskan, ia tiada keperluan memandangkan agensi dan jabatan berkaitan sedang menyediakan laporan.
"Kita ada agensi dan jabatan yang sedang siapkan laporan kejadian, kena tunggu dahulu. Contohnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah kemuka laporan taburan hujan yang sangat tinggi, perkara ini sangat teknikal ramai tidak faham.
"Ini menyebabkan banyak andaian dan spekulasi dibuat sehingga ada yang kaitkan kepada isu politik. Kejadian ini adalah isu alam sekitar, pengurusan dan kelulusan yang tidak ambil kira aspek keselamatan," katanya.
Pada petang Isnin, hujan lebat berterusan lebih tiga jam menyebabkan berlaku kepala air dari puncak Gunung Inas seterusnya menyebabkan banjir besar melibatkan lebih 17 buah kampung selain mengorbakan tiga nyawa.
Kronologi kes ladang durian musang king di Gunung Inas: 21 November 2018 - Kerja-kerja membuat teres di Gunung Inas giat dijalankan. Antaranya dibina rumah pekerja, sistem kumbahan yang terus disalurkan ke sungai yang menjadi bekalan air bersih 17 kampung melibatkan 21,000 penduduk. Terdapat kesan minyak mengalir ke dalam sungai serta sisa plastik tidak diurus secara sistematik.
27 November 2018 - Laporan rasmi ke Jabatan Alam Sekitar susulan banjir lumpur dibuat oleh penduduk kampung dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Kedah.
3 Januari 2019 - Penduduk terlibat dalam pembinaan empangan air di kompartmen 8 Gunung Inas mahu sumber minuman utama itu diselamatkan daripada pencemaran pembalakan dan projek musang king. Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Asas Tani Kedah ketika itu, Azman Nasrudin telah arahkan pemaju perbaiki semula empangan air masyarakat yang terjejas.
31 Ogos 2019 - Kira-kira 200 penduduk Kampung Sineyek, Baling menerima kesan buruk akibat projek musang king di Gunung Inas. Kerja-kerja penarahan bukit dan penebangan pokok menyebabkan banjir dari tapak projek membawa hakisan pasir dan lumpur ke kawasan kampung setiap kali hujan lebat.
4 September 2019 - Kampung Sineyek terus dilanda banjir lumpur dan pasir dari Gunung Inas yang didakwa berpunca daripada projek tanaman musang king.
8 Jun 2020 - Lebih 750 keluarga di sembilan kampung dalam Mukim Kupang terdedah pencemaran air tidak bersih dipercayai berpunca dari projek musang king dan pengambilan kayu balak di Kompartment 8, Hutan Simpan Gunung Inas. Antara kampung terjejas adalah Kampung Iboi, Masjid Iboi, Padang Empang, Kubang Katak, Bukit Kawi, Iboi Sekolah, Lata Celak, Bok Bak dan Bukit Iboi.
Julai 2020 - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengarahkan hentikan tanaman durian musang king dan kembali kepada tanaman dibenarkan untuk ladang hutan ganti tanah diluluskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!