Khidmat GRO RM1,000 dibongkar
KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail yang menyediakan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing diserbu pasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia pada Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 166 warga asing ditahan dalam serbuan jam 11.30 malam itu.
"Hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi ramai pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Khairul Dzaimee berkata, ketika serbuan, pusat hiburan tersebut penuh dengan pelanggan yang sedang berhibur.
"Terdapat cubaan melarikan diri dan provokasi daripada GRO, pekerja dan pelanggan semasa serbuan dijalankan, namun situasi dapat dikawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata, pusat hiburan itu dipercayai baru sahaja beroperasi pada 5 Jun lalu dan menawarkan khidmat GRO warga asing dengan kadar harga RM100 hingga RM1,000.
"Pelanggan boleh membeli selempang dengan tanda harga tersebut dan memilih gadis GRO dengan menyarungkan selempang itu," katanya.
Beliau berkata, keseluruhan 166 warga asing yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan 133 wanita warga Thailand, seorang lelaki dan 12 wanita warga Vietnam, dua wanita warga Laos, enam lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Indonesia.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan," ujarnya.
Beliau berkata, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!