Korban Perdana: YWP sumbang RM314,000, 52 ekor lembu

Shahidan - Foto Bernama
Shahidan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyumbang sejumlah RM314,000 termasuk 52 ekor lembu sempena Program Korban Perdana.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, aktiviti korban itu akan diadakan di kesemua 13 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Program Korban Perdana ini merupakan program tahunan YWP yang dilaksanakan sejak 2014 dengan kerjasama daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO)," katanya ketika berucap sempena majlis penyerahan sumbangan program tersebut, di kementeriannya di sini pada Khamis.

Menurutnya, YWP akan memberi sumbangan dana, manakala NGO bertangggungjawab untuk mencari asnaf yang layak menerima daging korban, selain mengurus urusan penyembelihan dan melaksanakan agihan.

"Pemilihan NGO berdasarkan kredibiliti mengurus program korban dan kerjasama dengan rakyat di lapangan," katanya

Beliau berkata, setiap NGO akan menerima empat ekor lembu serta sedikit bantuan tunai bagi tujuan pelaksanaan program tersebut.

"Besar harapan saya agar Program Korban Perdana YWP ini dapatlah membantu warga Wilayah Persekutuan menghayati erti pengorbanan terutamanya dalam membantu warga fakir miskin dan mereka yang memerlukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!