KPDNHEP sita minyak masak peket

KPDNHEP Cawangan Tanah Merah menyita minyak masak peket seberat 425 kg dalam serbuan di Jedok, Tanah Merah pada Khamis.
KPDNHEP Cawangan Tanah Merah menyita minyak masak peket seberat 425 kg dalam serbuan di Jedok, Tanah Merah pada Khamis.
A
A
A

TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah menyita minyak masak peket seberat 425 kilogram (kg) dalam serbuan di Jedok, di sini pada Khamis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, sitaan itu dilakukan hasil daripada pemeriksaan ke atas buku stok mendapati pemilik premis telah gagal untuk menyelenggara dengan sempurna.

"Selain itu kita dapati, bahan mentah itu telah dialihkan ke tempat yang tidak dilesenkan," katanya dalam satun kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, nilai rampasan bahan mentah itu dianggarkan berjumlah RM1,062.50.

Katanya, kegagalan menyelenggara buku stok akan disiasat dibawah Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Ahmad Azizi berkata, bagi kes mengalihkan barang kawalan tersebut ke tempat yang tidak dilesenkan akan disiasat dibawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Pengguna turut dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik dan hanya membeli mengikut keperluan masing-masing.

"KPDNHEP Cawangan Tanah Merah akan terus menjalankan pemeriksaan di semua peringkat bagi mengelak berlakunya ketirisan membabitkan bekalan ini dan tidak akan berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan," katanya.

Menurutnya, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Pasukan Gerakan Am (PGA) turut diadakan melalui rondaan serta sekatan jalan raya di Jajahan Tanah Merah dan Jeli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!