Iktiraf UEC undang polemik berpanjangan: Noraini

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad mempersoalkan sekiranya kerajaan tunduk dengan tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas membenarkan Lembaga Kelayakan Profesional Undang-Undang Malaysia (LKPUM) mengiktiraf sijil Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bakal membuka isu yang lebih besar.

Menurutnya, tindakan Tommy bakal mengundang polemik berpanjangan apabila kerajaan terpaksa mencari jalan menerima kedua-dua sijil dalam sistem sosial yang sedia ada.

“Pengiktirafan UEC akan mewujudkan kebimbangan orang Melayu kerana negara sudah mempunyai sistem pendidikan yang mantap.

“Tommy Thomas mungkin terlepas pandang bahawa UEC tidak diiktiraf sejak zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, di mana pendapat ini turut sama dipegang oleh tokoh-tokoh ketika itu termasuklah Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, tokoh-tokoh itu turut sama memacu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan mereka memiliki semangat nasional yang tinggi.

Katanya, apa yang dikhuatiri, jurang di antara kaum menjadi lebih besar kerana UEC dilaksanakan di sekolah-sekolah persendirian Cina.

“Dengan medium pengajaran bahasa Mandarin akan mengakibatkan kurangnya pendedahan komunikasi di antara pelajar di sekolah tersebut dengan pelajar dari kaum lain di negara kita.

“Mengiktiraf UEC bermakna negara akan melahirkan generasi kaum Cina yang semakin terpisah daripada idea asimilasi dan pergaulan antara kaum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Tommy Thomas berkata, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ untuk tujuan tersebut mulai 1 Januari 2021.

Selepas mesyuarat pada 8 Mac lalu telah memutuskan syarat menduduki PSAG bagi pemegang sijil kelayakan UEC adalah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 bermula 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!