Rekod lalu bukan ukuran derbi KL City, Selangor
REKOD pertemuan sebelum ini tidak boleh dijadikan sandaran apabila Kuala Lumpur (KL) City FC-Selangor FC berentap dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat.
Malah pengendali KL City, Bojan Hodak menjangkakan derbi Lembah Klang kedua-dua pasukan akan berakhir dengan keputusan luar jangka selepas mengharungi 90 minit perlawanan sengit.
Jelas Hodak lagi, itu bukan bermakna The Hawks wajar diangkat sebagai pilihan walaupun pasukan tersebut belum tewas dalam lima pertemuan terakhir sejak mengambil alih pasukan musim lalu.
Tambahnya, aksi kedua-dua pasukan sering kali berlangsung sengit dan peluang tampak seimbang buat Selangor atau KL City bagi memenangi perlawanan.
“Sudah lima kali kami bertemu dari musim lalu dengan KL City menang dua daripadanya dan seri tiga kali. Walaupun pasukan saya belum pernah tewas kepada Selangor tetapi semua perlawanan berlangsung dengan sengit dan sesiapa sahaja boleh menang.
“Ditambah sentimen Lembah Klang derbi, sudah pasti kedua-dua pasukan mahukan kemenangan bagi saingan Piala FA kerana kejohanan ini sangat berbeza dengan liga.
“Namun saya boleh katakan tekanan buat masa ini memihak kepada Selangor kerana dengan bajet yang lebih besar dan penyokong lebih ramai, sudah tentu mereka amat mengharapkan kemenangan,” katanya.
Untuk rekod, KL City menang dua kali semasa di saingan suku akhir Piala Malaysia 2021 selain seri tiga kali dalam tiga perlawanan Liga Super dari 2021 hingga 2022.
Kali terakhir pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan mereka terikat 3-3 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 4 Mac lalu.
Sementara itu, Hodak mengesahkan KL City berpeluang menurunkan penyerang import baharunya yang dipinjam dari Terengganu FC, Jordan Mintah.
Justeru, beliau mengharapkan Mintah mampu menambah sengat di jentera serangan bagi membantu Romel Morales selain dibantu Paulo Josue dan Zhafri Yahya.
“Saya boleh turunkan Jordan Mintah dalam perlawanan ini cuma dia masih perlukan masa untuk dapatkan persefahaman dengan pemain lain.
“Dia bakal mengambil tempat Kevin Koubemba dan diharapkan kehadirannya boleh membantu dalam aspek variasi serangan pasukan.
“Semua pemain berada di tahap terbaik kecuali pemain sayap, J Partiban yang mungkin terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan, ” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!