Bila nyawa di tangan darah daging sendiri
SELASA lalu, negara digemparkan dengan kes pembunuhan menyayat hati melibatkan seorang ibu yang maut dikelar anak kandungnya sendiri.
Pesara guru berusia 63 tahun itu ditikam di leher oleh anak lelakinya menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter di rumah mereka di Kampung Paya Luboh di Tangga Batu, Melaka.
Pembunuhan kejam dilakukan duda berusia 38 tahun itu selepas terdengar bisikan halus mengarahkannya menikam ibu sendiri kerana dikatakan menyembah berhala.
Pelbagai persepsi menyusul dalam mengandaikan punca kejadian berkenaan, sama ada ia ada kaitan dengan dadah atau tekanan mental.
Namun telahan tepat, angkara dadah durjana! Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata keputusan ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif syabu.
Jujurnya, tidak pernah terlintas dek akal waras kita, anak yang ditatang bagai minyak yang penuh sejak lahir tergamak membunuh ibu sendiri.
Namun, kes menyayat hati itu bukan pertama kali berlaku di negara ini. Masih terngiang-ngiang di ingatan penulis kes tragis pada Januari lalu di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Ibu berusia 56 tahun, mati dipenggal kepala oleh anaknya. Sungguh kejam! Ibu itu dipercayai dibunuh di ruang tamu dan kepalanya ditemui dalam tandas rumah.
Parang yang disyaki digunakan anak untuk penggal kepala ibunya ditemui di tandas.
'Hantu' apa merasuk anak hingga hilang akal buat perkara itu. Jawapannya, methamphetamine dan amphetamine. Hasil ujian air kencing, suspek positif dadah.
November lalu, di Gurun, Kedah, ibu tua berusia 70 tahun maut dikelar anak kandungnya berusia 31 tahun menggunakan pisau tumpul selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Suspek yang merupakan penagih dadah selain mempunyai rekod sakit mental dan jenayah kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal sebelum ditemui maut dilanggar lori tangki.
Kejadian jenayah kejam membabitkan penagih dadah sintetik yang semakin kerap dilaporkan bukan saja menakutkan, malah membimbangkan masyarakat.
Bila diri dikuasai dadah sintetik, mereka berhalusinasi sehingga tergamak membunuh ahli keluarga dan kenalan rapat kerana disangka hantu, musuh atau individu yang ingin mencederakan mereka.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Profesor Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, keadaan yang dialami oleh kebanyakan penagih dadah ini sebenarnya adalah gangguan mental akibat pengambilan dadah jenis stimulan atau perangsang secara berpanjangan.
Menurutnya, dadah jenis stimulan paling kerap dikaitkan dengan gejala psikosis atau gangguan mental yang teruk sehingga membuatkan penagih dadah bertindak di luar pemikiran rasional.
Antara jenis dadah berkenaan termasuklah methamphetamine, amphetamine, ketamin, ekstasi dan beberapa jenis dadah yang lain.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Mei lalu dilaporkan berkata, penggunaan dadah sintetik kini merangkumi kira-kira 69.8 peratus daripada jumlah penyalahgunaan dan penagihan dadah.
Kebimbangan lebih utama ialah 66 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahgunaan dan penagihan dadah sintetik membabitkan golongan muda, iaitu yang berumur antara 19 hingga 39 tahun.
Berdasarkan Kajian Prevalen Penagihan Dadah 2022, bagi setiap seorang penyalahgunaan dan penagihan dadah yang dapat dikesan oleh pihak berkuasa, terdapat empat orang lagi yang masih bebas.
Mengikut statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seramai 123,139 orang penagih dan penyalahgunaan dadah dikesan oleh pihak berkuasa pada tahun 2021, ini bermakna anggaran penagih yang masih tidak dapat dikesan dan menerima rawatan sewajarnya adalah seramai 492,556 orang.
Daripada keseluruhan penagih yang dikesan, 80,246 orang atau 65 peratus adalah klien AADK dengan 73,113 orang atau 91 peratus menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti, manakala 7,133 orang atau sembilan peratus mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi.
Justeru, sudah sampai masanya masalah penagihan dadah di negara ini diberikan perhatian yang amat serius oleh semua pihak.
Ambil cakna ahli keluarga. Jika ada yang terpalit tahi dadah jangan sorok. Bantulah rawat mereka. Jangan sampai berlaku kejadian yang menyedihkan baru nak bertindak.
* Nurkhairini Jumari ialah Editor Pengisian Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!