Mohon segerakan dana buat Speedy Tigers
DANA untuk The Speedy Tigers mengharungi kempen Piala Dunia 2023 perlu disegerakan bagi membolehkan skuad hoki senior lelaki negara itu melakukan persediaan lebih rapi berdepan jagoan dunia.
Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa berkata, imbuhan tersebut akan membolehkan pengendali Speedy Tigers, Arul Selvaraj dibekalkan tenaga pakar yang lebih arif.
Menurutnya, kehadiran pakar itu secara tidak langsung dapat membantu Arul memperkemaskan persiapan pasukan negara selepas berakhirnya Piala Asia di Jakarta, Indonesia bulan lalu.
“Pada kejohanan berintensiti tinggi seperti Piala Dunia, kita sememangnya memerlukan khidmat pakar dari luar bagi membantu coach Arul, tidak hanya berkaitan kecergasan tetapi juga tingkah laku pemain.
“Bukan menidakkan keupayaan pakar tempatan, namun pada satu tahap sebenarnya kita sememangnya memerlukan golongan lebih arif dan berpengetahuan tinggi dalam sukan hoki.
“Jika kita lihat kuasa hoki Asia, India pun telah mula berubah apabila mengambil pakar dari luar dalam membangunkan pasukan hoki negara itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sebelum ini, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dilapor giat merangka kertas kerja memohon dana sebagai persiapan Speedy Tigers mengharungi Piala Dunia 2023 di India dari 13 hingga 29 Januari depan.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, dana itu diperlukan antaranya untuk mengambil jurulatih fizikal berkepakaran tinggi sebagai langkah meningkatkan lagi prestasi skuad negara sebelum Piala Dunia 2023.
Beliau memberitahu, kertas kerja itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.
Dalam pada itu, Mohd Sadek berkata, barisan pemain negara juga perlu bersedia menerima perubahan yang bakal dilakukan Arul dalam memastikan pasukan berada pada tahap terbaik.
“Semua tahu lawan Speedy Tigers pada Piala Dunia 2023 bukan calang-calang pasukan kerana kebanyakan mereka berada dalam senarai 10 terbaik FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa).
“Jadi tidak dapat tidak... apabila menentang dengan pasukan yang berada dalam ranking 10 terbaik di dunia, persiapan Speedy Tigers juga haruslah mantap bagi mengelak jadi mangsa belasahan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!