Pidato pupuk semangat berkoperasi
PETALING JAYA - Pertandingan Pidato Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan 2022 telah berlangsung dengan jayanya, bertempat di Auditorium Dato’ Abdul Majid, Institut Koperasi Malaysia pada Khamis.
Program yang julung kali dianjurkan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) itu dijayakan dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) serta sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Seramai 118 peserta dari pelbagai sekolah di seluruh Malaysia menyertai pertandingan ini dengan membawa tema Koperasi Sekolah Sebagai Pemangkin Pemimpin Generasi Muda Koperasi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pertandingan tersebut diadakan bagi memupuk minat semangat berkoperasi dalam kalangan pelajar sekolah sekali gus mengetengahkan bakat generasi muda sebagai pelapis pembangunan negara.
“Pertandingan pidato seperti ini juga boleh melahirkan bakal-bakal pemimpin yang akan datang.
“Ia kerana dengan pidato ini melahirkan individu yang berani ke hadapan, bercakap dan mengutarakan pandangan.
“Ia membina keyakinan dan ketrampilan diri pelajar serta memperluaskan pengetahuan generasi muda khususnya dalam bidang koperasi,” katanya dalam ucapan perasmian penutup majlis berkenaan di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Dr Rosli Mat Hassan dan Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor.
Pertandingan tersebut dimenangi oleh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak, Erika Maisara Roslan yang membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta sijil dan trofi.
Mengulas lanjut, Noh menjelaskan pertandingan itu merupakan salah satu usaha Institut Koperasi Malaysia untuk mempromosikan sambutan 100 tahun Gerakan Koperasi di Malaysia.
Menurut beliau, ia secara tidak langsung menggalakkan sumbangan idea positif kepada pembangunan koperasi di negara ini.
Jelasnya, inisiatif penganjuran pertandingan pidato koperasi itu bukan sekadar manifestasi komitmen kerajaan untuk mempromosi koperasi semata-mata, malah untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.
“Pentas berprestij ini berupaya menjentik minda khalayak global tentang pentingnya berkoperasi yang juga saling berkait rapat dengan sektor keusahawanan.
“Ini dapat dijadikan landasan oleh semua peserta untuk berkongsi idea yang kritis khususnya bagi memperkasakan bidang koperasi terutama sekali kepada anak-anak muda generasi kita hari ini,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Noh berkata, penglibatan koperasi di sekolah-sekolah sebenarnya sudah berada pada tahap yang membanggakan.
“Kalau dulu koperasi di sekolah ini dimulakan dengan bidang peruncitan, tetapi sekarang ini semakin berkembang ke bidang lain seperti dobi, pengedar barang runcit dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut mengharapkan koperasi sekolah mampu untuk bersama-sama membangunkan bidang pertanian.
“Di sekolah ada banyak tanah-tanah yang tidak digunakan, maka kita harap koperasi sekolah juga akan terlibat dalam aktiviti pertanian dan agro-makanan.
“Kita bukan sahaja mahu melahirkan bangsa usahawan dalam kalangan pelajar tetapi juga untuk melahirkan petani moden satu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, Erika Maisara mengakui teruja dan gembira dengan kejayaannya menjuarai pertandingan tersebut.
“Saya gembira dengan kemenangan ini dan akan menjadikan ia sebagai satu semangat untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Terima kasih kepada semua pihak terutama guru-guru yang banyak memberikan tunjuk ajar.
“Pidato koperasi ini juga amat penting dalam usaha menyebarkan tentang maklumat koperasi terutama kepada pelajar,” ujarnya.
Pertandingan Pidato Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan 2022
Johan - Erika Maisara Roslan, MRSM Parit, Perak
Naib johan - Izzah Athirah Mhd Idris, SAM Bestari, Subang Jaya, Selangor
Ketiga - Umashanchita Chandran, SMK Shahbandaraya, Klang, Selangor
Keempat - Putri Nurathirah Hirmizali, SMK Tansau, Penampang, Sabah
Kelima - Muhammad Najdi Hakim Muhamad Nasir, SMKA Sultan Muhammad, Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!