Jangan tunggu 'tanda' kepala air

Orang ramai dinasihatkan menyemak ramalan cuaca sebelum merancang perjalanan ke tempat-tempat berisiko seperti jeram dan sungai. - Gambar hiasan
Orang ramai dinasihatkan menyemak ramalan cuaca sebelum merancang perjalanan ke tempat-tempat berisiko seperti jeram dan sungai. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka terhadap perubahan cuaca ketika berada di kawasan jeram agar mampu menyelamatkan diri lebih awal daripada fenomena kepala air sekali gus mengurangkan risiko yang boleh membahayakan nyawa.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, orang ramai turut dinasihatkan untuk menyemak ramalan cuaca sebelum merancang perjalanan ke tempat-tempat berisiko seperti jeram dan sungai.

"Untuk elak kepala air ini kita boleh tengok ramalan cuaca atau apabila berada di jeram atau sungai kita boleh tengok kalau cuaca hujan atau dah mendung terus sahaja lari daripada air.

"Jangan tunggu kononnya dengar bunyi deruan air, daun bertambah banyaklah takut nanti dah terlambat sebab kita bukan tahu pun daun bertambah banyak atau tidak, kita bukan hari-hari ke situ," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Nor Hisham berkata, pengetahuan berkaitan topografi setempat amat penting bagi individu yang tinggal di kawasan yang berisiko supaya persiapan awal dapat diambil.

"Langkah pencegahan yang paling utama adalah pengetahuan. Orang yang duduk di kawasan berisiko ini mereka kena tahu berkenaan risiko yang mungkin mereka hadapi," katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan JBPM dalam menghadapi bencana alam khususnya banjir dan kepala air, beliau berkata, pihaknya berada pada tahap 100 peratus bersedia.

Katanya, di samping penambahan sekitar 1,000 anggota baharu, JBPM sedang dalam proses perolehan 60 buah bot untuk tugas-tugas mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan air cetek.

"Dari segi kesiapsiagaan anggota dan aset, semuanya cukup. Kita jangka apabila keluar rekrut baharu mulai bulan ini dari kampus di seluruh negara akan bertambah lagi kekuatan anggota kita.

"Kita juga dalam proses perolehan 60 buah bot menerusi peruntukan bencana di bawah Agensi Peruntukan Bencana Negara (Nadma) untuk memudahkan kerja-kerja di kawasan lebih cetek," katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham memberitahu, pihaknya turut menambah baik kelengkapan alat apungan diri (PFD) bagi setiap anggota penyelamat untuk mengurangkan risiko lemas ketika bertugas.

"Kita juga buat perolehan bagi kelengkapan PFD untuk meningkatkan keselamatan anggota. PFD ini ada fungsi 'quick-release' bila berlaku apa-apa perkata tidak diingini. Kita tidak mahu insiden di mana anggota lemas berlaku lagi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!