Warga emas, cucu cedera diserang perompak

Kelibat suspek yang berjaya dirakam CCTV kawasan kejadian samun di Taman Hijau,Karak pada Khamis. (Gambar kecil: Zaiham)
Kelibat suspek yang berjaya dirakam CCTV kawasan kejadian samun di Taman Hijau,Karak pada Khamis. (Gambar kecil: Zaiham)
A
A
A

BENTONG - Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun terpaksa menerima 10 jahitan di bahagian leher selepas terkena parang dilibas perompak dalam kejadian samun di Taman Hijau, Karak di sini pada Khamis.

Dalam kejadian awal pagi itu, cucu lelaki mangsa berusia 18 tahun turut bengkak di bahagian kepala akibat dihentak suspek menggunakan belakang parang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, isteri mangsa berusia 69 tahun tidak dicederakan namun barang kemasnya berupa rantai leher dan cincin dilarikan suspek.

Menurutnya, kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh mangsa sendiri pada jam 7.50 pagi.

"Susulan maklumat diterima sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan siasatan.

"Berdasarkan rakaman percakapan mangsa, suspek terdiri daripada dua lelaki dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Zaiham berkata, ketika kejadian dua suspek bersenjatakan parang itu memakai topi keledar bertutup dan menggunakan sebuah motosikal jenis Honda EX-5.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang dijalankan berdasarkan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain video kejadian yang tular di laman sosial.

"Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan waspada serta segera menghubungi pihak polis sekiranya menyedari kehadiran individu atau kenderaan mencurigakan di kawasan perumahan masing-masing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!