Pemimpin Orang Asli di Selangor bakal terima bonus
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus kepada 150 pemimpin masyarakat Orang Asli di negeri ini bermula Oktober depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada tok batin, manakala Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) masing-masing bakal menerima sebanyak RM500 dan RM250.
Menurutnya, pemberian bonus tersebut adalah tanda penghargaan kepada golongan berkenaan yang membantu kerajaan Selangor berdepan pandemik Covid-19.
"Saya menghargai sumbangan tok batin yang bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu dan mengawal komuniti Orang Asli khususnya ketika berdepan dengan pandemik, selain memastikan pelaksanaan vaksinasi berjalan lancar.
"Bonus tersebut akan diagihkan bermula Oktober dan selewat-lewatnya November tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perjumpaan Pemimpin Masyarakat Orang Asli Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor sedang berusaha mempertingkatkan taraf golongan Orang Asli di Selangor dari segi peruntukan kepada kampung-kampung masyarakat tersebut.
Ujarnya, setiap kampung akan menerima peruntukan geran sebanyak RM10,000 bagi tujuan aktiviti.
Selain itu, Amirudin mencadangkan agar elaun tok batin ditambah daripada RM900 kepada RM1,500 pada tahun hadapan.
"Kita juga sedang fikir untuk tingkatkan elaun tok batin, dan Pengerusi JPKKOA kepada RM1,500.
"Sebelum ini, mereka dapat RM900 daripada kerajaan Persekutuan, jadi kita akan tambah RM600 lagi sesuai dengan gaji minimum yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran," katanya.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, sebanyak RM407,373 dari jumlah peruntukan RM500,00 dibelanjakan untuk pembangunan hal ehwal Orang Asli pada tahun lalu.
Ujarnya, perbelanjaan tersebut melibatkan peruntukan bagi program gotong royong dan projek menaiktaraf kemudahan asas di kampung Orang Asli,
"Peruntukan tersebut juga turut digunakan untuk melaksanakan program pendidikan di beberapa buah kampung dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!