Kehilangan Acap: Bomba gabung kepakaran, pengalaman
IPOH - Seramai 16 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) dari Selangor dan Negeri Sembilan akan tiba bagi membantu misi mencari dan menyelamat Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, dua pasukan berkenaan dijangka tiba malam ini dan menyertai operasi yang bermula jam 8.30 pagi esok.
Menurutnya, bantuan pasukan dua negeri itu diperlukan berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka yang sering terlibat dalam misi mencari orang hilang.
"Daripada kes-kes sebelum ini, anggota Storm Selangor dan Negeri Sembilan antara pasukan yang kerap terlibat dalam gerakan mencari orang hilang, hampir setiap tahun berlaku kes yang sama.
"Jadi pengalaman mereka mungkin dapat membantu kita menyelesaikan misi kali ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, dua pasukan berkenaan bersama 10 anggota Storm dan unit MUSTeam Perak akan menumpukan lokasi pencarian di laluan terakhir iaitu di check point 10.
Katanya, operasi menyelamat (Op SAR) telah disambung semula, pagi tadi dengan pusat kawalan operasi di kawasan sama iaitu di Kampung Pintu Padang berhampiran Bukit Batu Putih.
"Skop pencarian masih kita kekalkan di kawasan sama dan sehingga kini, petunjuk yang kita perolehi masih samar-samar," katanya.
Semalam, Op SAR yang masuk hari ketujuh dihentikan selepas operasi mencari tidak menemui sebarang hasil positif.
Bagaimanapun, operasi sama pada skala kecil tetap diteruskan melibatkan polis, anggota bomba, pihak penganjur, kumpulan pendaki dan penduduk kampung.
ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan Ashraf: Polis buka kertas siasatan
ARTIKEL BERKAITAN: Bomba teruskan cari Acap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!