Warga emas OKU mohon bantuan cari rumah sewa baharu
SEREMBAN - Seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) di Rumah Pangsa Senawang di sini buntu memikirkan rumah sewa baharu kerana pemiliknya mahu menjual rumah tersebut.
Salmah Ahmad, 65, berkata, dia memahami kehendak tuan rumah berkenaan dan kini mengharapkan masyarakat dapat membantunya mendapatkan rumah sewa baharu dengan bayaran bulanan yang murah.
"Saya tinggal menyewa di sini sejak empat tahun lalu dengan bayaran sewa RM400 sebulan.
"Tuan rumah ini ada beritahu mahu menjual rumah ini. Buat masa ini dia benarkan saya untuk terus tinggal di sini sehingga saya dapat rumah sewa lain, tapi saya risaulah dan perlu bersedia dari sekarang," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed pada Khamis.
Menurutnya, dia hanya mampu membayar sewa rumah dengan kadar sewa bawah RM500 sebulan kerana bergantung harap dengan wang bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Salmah berkata, suaminya pula hanya bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan tidak menentu.
"Kalau boleh saya nak rumah sewa di tingkat bawah bagi memudahkan pergerakan memandangkan kaki sebelah kiri saya telah dipotong tiga tahun lalu akibat kencing manis.
"Suami ada cuba mencari rumah sewa lain tapi semuanya mahal. Dengan keadaan sekarang nak cari rumah sewa bawah RM500 dan di tingkat bawah memang susah," katanya.
Selain itu, Salmah yang mempunyai penyakit buah pinggang perlu membuat rawatan dialisis tiga kali seminggu di Pusat Dialisis Baitumal.
Katanya, urusan untuk berulang alik ke pusat dialisis diuruskan oleh suaminya.
"Kami tidak dikurniakan anak, jadi suamilah yang bantu uruskan saya sebelum dia keluar bekerja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!