Sering terperangkap kesesakan cetus gangguan mental: Pakar
Rutin berterusan itu boleh menyumbang kepada gangguan kesihatan mental sehingga membawa kepada tekanan yang kronik seperti kemurungan dan kerisauan.
A
A
A
Tempoh sama dihabiskan ketika pulang bekerja yang secara tidak langsung, ibu kepada seorang anak itu terpaksa menghabiskan enam jam sehari untuk memandu dan sampai di rumah pada 9 malam.
Itu rutin Aida sejak bermula fasa peralihan ke endemik awal April lepas dan secara perkiraan kasar, beliau menghabiskan 120 jam sebulan bersamaan tempoh lima hari, hanya di dalam kereta dan situasi hampir sama sedang dilalui ribuan yang bekerja di ibu negara ketika ini.
"Ada masanya akibat terlalu tertekan, saya seolah-olah mendengar bisikan halus sehingga mahu melanggar kereta di hadapan,” luahnya yang juga mengalami gangguan kesihatan seperti sering kebas dan lenguh di bahagian pinggang ke bawah akibat memandu dan duduk terlalu lama.
Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari yang dihubungi Bernama berkata, situasi sering terperangkap dalam kesesakan lalu lintas secara berterusan boleh menyumbang kepada gangguan kesihatan mental sehingga membawa kepada tekanan yang kronik seperti kemurungan dan kerisauan.
"Tekanan itu akan bertambah sekiranya individu berkenaan kerap lewat ke tempat kerja dan mendapat teguran atau amaran daripada majikan seterusnya menjejaskan emosi dan mengganggu produktiviti kerjanya," katanya yang turut mengaitkan situasi tersebut dengan risiko buli jalan raya dan kemalangan.
Dr Muhammad Muhsin berkata, jika tidak diatasi, perkara itu juga boleh menyumbang kepada risiko penyakit serius seperti darah tinggi, jantung dan diabetes serta akan bertambah buruk jika mereka tidak mengamalkan cara hidup sihat dari segi fizikal seperti pemakanan dan riadah selain mental.
Oleh itu, katanya, pengurusan masa adalah penting untuk mengelak seseorang itu tergesa-gesa semasa berada di jalan raya kerana ia mampu meningkatkan risiko kemalangan bukan sahaja kepada individu malah pengguna jalan raya yang lain.
Pakar Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Rozmi Ismail pula mencadangkan kepentingan majikan untuk mula melaksanakan waktu bekerja yang anjal sebagai antara langkah mengatasi situasi tersebut serta mewujudkan persekitaran kerja lebih sihat.
Rozmi berkata, dalam situasi getir kini, adalah penting untuk majikan bersikap lebih terbuka dan tidak terlalu terikat dengan pekerja mengenai pengoperasian sesebuah organisasi.
"Ini bermaksud tidak semua boleh masuk bekerja pada waktu sama supaya mereka tidak perlu berpusu-pusu keluar rumah pada waktu sama. Contohnya, kita boleh mengadakan sistem syif bekerja yang bermula pada 8 pagi hingga 5 petang dan syif kedua bermula 10 pagi hingga 8 malam.
"Kita juga boleh melaksanakan sistem penggiliran yang memerlukan pekerja hadir secara bergilir-gilir ke pejabat," katanya.
Rozmi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkenaan kebenaran pekerja memohon aturan kerja fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 September ini.
Awang dilaporkan berkata, pekerja hanya perlu membuat surat permohonan berkenaan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja.
Rozmi yang juga Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM berkata, bekerja secara fleksibel dilihat mampu meningkatkan produktiviti pekerja seterusnya membantu mengurangkan risiko stres sekali gus memelihara kualiti hidup dan kesejahteraan mental.
"Lagipun, kita pernah melaluinya apabila negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang memerlukan hampir semua organisasi mengamalkan konsep bekerja dari rumah (BDR).
"Pekerja bukan sahaja dapat memberi perhatian penuh kepada tugasan yang diberi kerana tidak perlu berulang-alik ke tempat kerja dan ini dapat menjimatkan masa dan kerja boleh menjadi lebih produktif," katanya sambil menambah golongan penjawat awam juga seharusnya dipertimbangkan untuk bekerja secara fleksibel mengikut kesesuaian jabatan.
Rozmi juga berpandangan bekerja secara fleksibel juga penting bagi membolehkan pengurusan masa bekerja dapat diatur dengan lebih baik tanpa mengabaikan keperluan urusan harian lain seperti rumah tangga bagi mereka yang sudah berkahwin.
"Namun, kita juga harus ingat bukan semua jenis pekerjaan sesuai dilakukan di luar pejabat tetapi sekiranya terdapat isu berbangkit seperti mutu hasil kerja yang tidak memuaskan, majikan boleh membuat pemantauan berkala dengan membangunkan sistem berkesan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!