Bapa, anak 5 tahun rentung dalam kebakaran

Seorang bapa dan anak lelakinya berusia lima tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah. - Foto Ihsan Bomba.
Seorang bapa dan anak lelakinya berusia lima tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah. - Foto Ihsan Bomba.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang bapa dan anak lelakinya berusia lima tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Cherana Puteh di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian pada kira-kira 1.50 pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai Allahudin Abd Hamid, 51, dan anaknya Mohamad Badrul, 5 tahun.

"Allahudin ditemukan anggota bomba di bilik air manakala anaknya di bilik utama rumah separa papan dan batu itu. Tubuh kedua-dua mangsa terbakar keseluruhannya.

"Siasatan di tempat kejadian turut disertai anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pakar patologi dari Hospital Alor Gajah," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 1.56 pagi sebelum sebuah jentera dan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kebakaran 13 minit kemudian, rumah separa kekal itu didapati terbakar 70 peratus dan orang awam memaklumkan terdapat dua mangsa di dalam premis berkenaan.

Katanya operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya lebih tiga jam kemudian dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!