Hamilton berazam naik podium di GP Austria

Hamilton. - Foto fomulaNerds.com
Hamilton. - Foto fomulaNerds.com
A
A
A

JUARA dunia tujuh kali, Lewis Hamilton berazam meneruskan prestasi terbaiknya untuk muncul juara Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Austria hujung minggu ini.

Menurut Hamilton, kejayaan menamatkan saingan GP Kanada dan GP British pada kedudukan ketiga sebelum ini turut menambahkan keyakinannya bagi merealisasikan azam itu.

“Saya menetapkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan di Austria hujung minggu ini pada kedudukan podium atau mungkin sebagai pemenang.

“Namun kali ini kami bakal beraksi di Litar Red Bull Ring pada saingan GP F1 Austria yang kebiasaannya menjanjikan saingan sukar buat semua pemandu.

“Kehadiran kami ke sini secara keseluruhannya bertujuan bagi mencatatkan keputusan yang positif,” katanya.

Pada kedua-dua saingan GP FI di Kanada dan British sebelum ini, Hamilton berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga sekali gus membantu meraih mata buat Mercedes.

Untuk rekod, Mercedes kini berada pada kedudukan ketiga kejuaraan dunia dengan 204 mata berbanding Ferrari (265 mata di tempat kedua) dan Red Bull di tempat pertama dengan 328 mata.

Mengulas lanjut, Hamilton berkata, dia juga yakin pasukannya, Mercedes, mampu mengungguli saingan F1 musim ini berdasarkan kepada prestasi semasa.

Malah katanya, berdasarkan kepada prestasi semasa, pasukan berkenaan dilihat berada pada prestasi yang baik untuk merealisasikan misi berkenaan.

“Biarpun sedang bergelut untuk ketinggalan agak jauh dengan dua pasukan teratas Red Bull dan Ferrari ketika ini, saya yakin pasukan ini mampu untuk muncul juara F1 kali ini.

“Ini berdasarkan kepada kejayaan kami seperti Lando Noris, George Russel dan saya sendiri menamatkan beberapa perlumbaan pada kedudukan podium dalam beberapa perlumbaan sebelum ini.

“Saya yakin pasukan ini bakal mengekalkan kedudukan ini atau mungkin memenangi beberapa perlumbaan selepas ini, dimulai dengan GP Austria, hujung minggu ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!