United ketepikan Ranaldo jelajah pramusim ke Thailand, Australia
TONGGAK serangan Manchester United, Cristiano Ronaldo sah tidak akan bersama The Red Devils bagi jelajah pramusim di Thailand dan Australia.
Jurucakap United ketika ditanya berkenaan ketiadaan Ronaldo dalam pasukan jelajah pra musim memberitahu, ia disebabkan penyerang Portugal itu diberikan rehat tambahan untuk menyelesaikan isu keluarga.
“Ronaldo tidak akan menjadi sebahagian daripada kumpulan pemain Manchester United yang dijadualkan menyertai jelajah pramusim di Thailand dan Australia pada Jumaat.
“Dia diberikan cuti tambahan untuk menyelesaikan isu keluarga," kata jurucakap United.
Sebelum ini, status penyerang Portugal itu menjadi tanda tanya selepas Ronaldo menggesa United menjualnya pada musim panas ini.
Malah kelibat Ronaldo turut tidak kelihatan di pusat latihan yang berpengkalan di Carrington ketika pengurus baharu United, Erik ten Hag menyambut kehadiran pemainnya bagi menjalani latihan pra musim.
United bagaimanapun menegaskan Ronaldo yang menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan tidak akan dijual dan menurut laporan pengurus baharu, Erik ten Hag berminat bekerjasama dengannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!