Syed Saddiq mohon maaf kepada mahkamah
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Jumaat memohon maaf di Mahkamah Tinggi di sini kerana memuat naik semula satu hantaran di laman media sosialnya berhubung perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya.
Syed Saddiq, 29, membuat permohonan maaf itu setelah diberi amaran terakhir oleh Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid yang mendengar perbicaraan kes itu pada Jumaat.
"Dengan rendah diri, saya mohon maaf,” kata Syed Saddiq.
Azhar membuat teguran itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa satu laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Muar itu kerana menyiarkan semula satu hantaran yang dibuat oleh rakannya, Ahmad Zarul Afiq berkenaan prosiding perbicaraan dan kredibiliti saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali, yang juga bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Laporan itu menyatakan, hantaran yang disiarkan semula oleh Syed Saddiq adalah bersifat subjudis dan sebelum ini hakim lain telah menegur ahli politik itu serta pasukan peguamnya agar tidak membuat sebarang komen tentang perbicaraan yang sedang berlangsung.
Wan Shaharuddin berkata, perkara sama telah beberapa kali berlaku dan Syed Saddiq sebelum ini diberi amaran oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan."Bagaimanapun, ia masih berlaku dan tertuduh masih memberikan komen tentang prosiding dan kredibiliti saksi ini, yang saya percaya adalah subjudis. Terpulang kepada mahkamah untuk membuat penemuan fakta mengenai kredibiliti saksi,” katanya.
Peguam yang mewakili Syed Saddiq, Gobind Singh Deo yang kelihatan terkejut ketika isu itu dibangkitkan memberitahu mahkamah anak guamnya telah memadam hantaran itu.
"Saya memberitahunya (Syed Saddiq), ini adalah sesuatu perkara yang anda tidak bincangkan dan minta dia berhati-hati pada masa depan. Dia sudah memadamkan hantaran itu,” kata Gobind.
Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azhar memberikan amaran terakhir kepada tertuduh agar perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
"Ini agak serius. Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Mohamed Zaini Mazlan telah membuat pelbagai ulasan mengenai isu ini. Jadi biarkan ini sebagai amaran terakhir. Saya harap semua pihak tidak lagi membuat komen sebegitu,” katanya.Ini adalah permohonan maaf kedua yang dibuat oleh pihak pembelaan berhubung perkara sama dalam tempoh seminggu.
Pada 4 Julai, seorang lagi peguam Syed Saddiq, Haijan Omar membuat permohonan maaf kepada mahkamah selepas seorang peguam dalam pasukan pembelaan ahli politik itu, Lim Wei Jiet mengeluarkan kenyataan awam mengenai kes sama.
Terdahulu, berkenaan permohonan pihak pembelaan untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim sebagai saksi pendakwaan, Wan Shaharuddin berkata terdapat prasyarat yang perlu dipenuhi oleh pihak yang ingin pernyataan bertulis saksi diterima masuk sebagai keterangan di mahkamah, di bawah Seksyen 402B Kanun Tatacara Jenayah.
"Memandangkan pernyataan bertulis itu tidak ditandatangani oleh saksi berkenaan, maka prasyarat pertama di bawah Seksyen 402B (2) gagal dipatuhi,” katanya.
Susulan perkara itu, Gobind memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti itu memandangkan pernyataan saksi Rafiq Hakim telah diberikan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula, walaupun ia tidak digunakan di mahkamah.Azhar kemudian menetapkan 18 Julai ini untuk memutuskan sama ada prosiding mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan itu boleh dilakukan, berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!