'Wawancara luar konteks beri gambaran negatif kepada saya, Najib'

MOHAMAD
MOHAMAD
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas beberapa hari berdiam diri daripada memberi pencerahan mengenai kenyataan ‘kontroversinya’, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Jumaat akhirnya tampil bersuara.

Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat melalui hantaran di Facebooknya menegaskan wawancara dirinya dengan Asia Times yang berpengkalan di Hong Kong baru-baru ini mesti dilihat dalam konteks keseluruhan.

Ini kerana katanya, kenyataan yang dibuat secara ‘piecemeal’ atau terpisah-pisah seperti mana yang dilaporkan boleh memberi gambaran yang tidak tepat.

“Sangatlah penting untuk saya menegaskan bahawa konteks keseluruhan temubual tersebut ialah penegasan saya bahawa setiap orang yang dituduh berhak menerima penghakiman yang adil tanpa sebarang konflik kepentingan serta pengampunan di bawah undang-undang Malaysia hanya akan diberi selepas seorang tertuduh telah mula menjalankan hukuman.

“Segala yang di luar konteks tersebut hanya memberi gambaran negatif kepada Datuk Seri Najib dan diri saya serta dijadikan bahan propaganda musuh politik UMNO,” katanya.

Bagaimanapun Tok Mat menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk mengulas panjang mengenai isu berkenaan.

“Keseluruhan fokus saya ialah menyediakan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Tok Mat dalam wawancara bersama Asia Times baru-baru ini dilaporkan berkata, pengampunan Diraja sebelum seseorang individu yang didapati bersalah di Mahkamah, menjalani hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, adalah sesuatu yang salah.

Katanya, banyak kes melibatkan pemimpin kanan UMNO sebelum ini menyaksikan mereka menjalani hukuman sebelum diberikan pengampunan dan dibebaskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!