Pengarah, syarikat didenda jual, miliki mikrofon tak diperakui MCMC
MELAKA - Sebuah syarikat dan pengarahnya didenda RM15,500 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Jumaat, kerana memiliki dan menjual mikrofon tanpa wayar tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun 2020 dan 2021.
Hakim, Nariman Badruddin membuat keputusan itu selepas syarikat Darson Electronics Sdn Bhd diwakili pengarahnya Tan Kwee Geok, 56, yang juga selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas empat pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.
Bagi dua pertuduhan ke atas Darson Electronics Sdn Bhd, mahkamah memutuskan syarikat berkenaan didenda RM8,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda dan denda RM2,000 atau penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda.
Darson Electronics Sdn Bhd didakwa atas dua pertuduhan memiliki dengan tujuan menjual 11 unit mikrofon tanpa wayar jenama Langpu model U3001B di Tingkat Bawah Jalan PMS Taman Plaza Melaka Sentral di sini pada 12.17 tengah hari 4 Julai 2020, dan pada pukul 2.15 petang 5 Mei 2021.
Bagi pertuduhan ke atas Kwee Geok, Nariman memerintahkan OKS dikenakan denda RM4,000 dan RM1,500 atau penjara 10 hari bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Kwee Geok selaku pengarah syarikat berkenaan didakwa atas dua pertuduhan memiliki dan menjual satu unit model yang sama pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.
Mahkamah juga memerintahkan kesemua barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dilucut hak kepada MCMC.
Kesemua unit tersebut didapati tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) dan 16(3) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, OKS yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan bayaran denda minimum memandangkan dia sudah menyesal dan insaf malah berjanji tidak akan mengulanginya pada masa hadapan, selain perlu menggalas tanggunjawab membayar gaji pekerjanya.
Sementara, Pegawai Pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal di samping barangan kes dilucut hak dan dilupuskan di bawah Akta SKMM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!