Tze Yong yakin cipta keputusan positif di Sukan Komanwel

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai kemaraan Tze Yong mencipta kejutan apabila menewaskan wakil Kanada, Brian Yang yang kini berada di ranking ke-31 dunia.
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai kemaraan Tze Yong mencipta kejutan apabila menewaskan wakil Kanada, Brian Yang yang kini berada di ranking ke-31 dunia.
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong melaungkan keyakinan bahawa dia sudah bersedia untuk menggalas tugas negara di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 hujung tahun ini.

Menurut pemain yang kini berada di ranking ke-48 dunia itu, dua kejohanan yang disertainya sebelum ini iaitu Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia banyak membantu dalam mempersiapkan diri menjelang temasya sukan kedua terbesar di dunia itu.

Bagaimanapun, Tze Yong mengakui masih banyak perlu diperbaiki terutamanya dari segi fizikal dan stamina, namun dia percaya dirinya mampu untuk mencipta kejutan sekali gus berharap mampu untuk menghadirkan aksi yang positif pada penampilan sulung di Sukan Komanwel.

“Saya rasa secara keseluruhan semuanya masih okay. Bagaimanapun, banyak benda perlu saya pelajari.

“Malah dalam perlawanan hari ini (semalam), saya dapat lihat jurang saya dengan dia (Chou Tien Chen) masih jauh. Banyak perbezaan yang saya lihat kalau dibandingkan dengan dia.

“Bagaimanapun, selepas Masters Malaysia ini saya rasa ada lebih keyakinan terutama untuk menghadapi Sukan Komanwel. Saya akan cuba yang terbaik di temasya berkenaan,” katanya selepas perlawanan semalam.

Pada aksi pusingan kedua semalam, Tze Yong yang menjadi satu-satunya perseorangan lelaki negara Master Malaysia 2022 mara ke pusingan kedua, akur tewas kepada pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien Chen 18-21,16-21.

Bagaimanapun, aksi positif berjaya ditunjukkan Tze Yong pada pusingan pertama apabila berjaya menewaskan pemain nombor 31 dunia dari Kanada, Brian Yang.

Dalam pada itu, Tze Yong ketika ditanya berkenaan sasarannya di Sukan Komanwel Birmingham, pemain kelahiran Johor itu hanya mahu menampilkan aksi yang terbaik di temasya itu.

“Saya tidak fikir mengenai pingat pada penampilan sulung saya. Apa yang saya mahu adalah untuk memberikan aksi yang terbaik pada temasya ini,” ujarnya.

Untuk rekod, skuad badminton negara berjaya meraih dua pingat emas menerusi Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo selain satu perak dan dua gangsa pada edisi Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!