JPJ cadang beri penghargaan pada pengadu
SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang memberi penghargaan kepada orang awam yang membuat aduan kesalahan jalan raya melalui aplikasi e-Aduan@JPJ.
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JPJ, M Janagarajan berkata, ia sebagai galakan kepada masyarakat untuk membantu JPJ mengesan kesalahan lalu lintas.
Bagaimanapun katanya, tidak ramai yang mengetahui sistem e-Aduan@JPJ itu yang dilancarkan sejak April lalu.
"Kita sangat mengharapkan kerjasama masyarakat untuk menjadi 'mata-mata' kepada JPJ sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
"Sejak e-Aduan@JPJ ini diperkenalkan kita telah menerima kira-kira 1,000 aduan di seluruh negara yang mana sistem aduan ini lebih cepat dan mudah," katanya pada sidang akhbar selepas Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2022 di Terminal One di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf.
Menurutnya, melalui aplikasi itu, orang ramai hanya perlu memuat naik gambar atau video kesalahan jalan raya yang berlaku di depan mereka selain lokasi dan waktu kesalahan.
Jelasnya, dari aduan itu siasatan lanjut dan tindakan akan diambil.
"Aduan yang dibuat perlu lengkap dengan waktu, tempat, video dan gambar untuk memudahkan siasatan dijalankan.
"Aduan paling tinggi diterima ialah memotong 'Q' dan menggunakan lorong kecemaaan," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, buat pertama kali JPJ mengadakan Ops Khas HRAA kerana mendapati kadar kemalangan jalan raya setiap kali musim perayaan menunjukkan peningkatan.
Ujarnya, Ops Khas HRAA itu dilaksanakan empat hari iaitu pada 7 Julai hingga 8 Julai dan 12 Julai hingga 13 Julai.
"Seramai 2,500 anggota JPJ, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Plus Malaysia Bhd (PLUS) terlibat dalam operasi itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!