Lebih 600 pemandu, 323 bas ekspres diperiksa
KUALA LUMPUR - Lebih 600 pemandu bas ekspres diperiksa menerusi Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2022 yang dijalankan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini pada Khamis dan Jumaat.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, pemeriksaan merangkumi ujian urin, status lesen memandu, dan dari sudut teknikal bas ekspres sebelum berlepas.
"Sebanyak 323 bas ekspres dan lebih 600 pemandu telah diperiksa di TBS di mana tiada kesalahan didapati dilakukan oleh pemandu sepanjang dua hari pemeriksaan dijalankan.
"Op HRAA 2022 secara umumnya diadakan bertujuan untuk memastikan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya dan pergerakan trafik yang lancar bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya," katanya pada sidang media selepas menjalankan pemeriksaan di TBS di sini pada Jumaat.
Zulkifly berkata, selain pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres, pihaknya turut menjalankan operasi penyamaran sebagai penumpang bas bagi mengesan pemandu yang masih berdegil melanggar peraturan trafik.
Katanya, JPJ turut melaksanakan rondaan di lebuh raya dan jalan-jalan utama persekutuan serta negeri, menjalankan Op Motosikal serta mengenakan had masa perjalanan terhadap kenderaan berat bagi mengurangkan kesesakan trafik.
"Pada Jumaat juga diadakan Op Motosikal Khas HRAA 2022 bertempat di Plaza Tol Batu bermula dari jam 4.00 petang hingga 7.00 malam di mana sebanyak 337 saman dikeluarkan dan 20 kenderaan disita," katanya.
Mengulas mengenai jumlah kenderaan membabitkan warga kota yang pulang ke kampung sempena Aidiladha, Zulkifly berkata, pihaknya menjangkakan sekitar 1.9 juta kenderaan dijangka bergerak ke Utara manakala 1.7 juta ke arah Pantai Timur.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan advokasi berbanding penguatkuasaan dalam usaha mendidik masyarakat supaya menjadi pemandu berhemah.
Dalam pada itu, beliau menyeru pemandu kereta persendirian dan penunggang motosikal supaya menggunakan kemudahan perkhidmatan awam jika bercadang pulang ke kampung.
"la bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya malah mengurangkan risiko kemalangan dan statistik kemalangan maut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!